SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum lagi memanggil Pengerusi Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) Isa Samad untuk diambil keterangannya.
Bercakap kepada wartawan hari ini, Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata Isa hanya akan dipanggil jika ada keperluan.
“Ia bergantung pada perkembangan kes itu,” katanya ketika ditemui selepas mengagihkan 2,500 paket bubur lambuk di depan Masjid As-Syarif Meru, Klang, petang tadi.
Beliau berkata siasatan kini 60% siap.
SPRM memulakan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam FGV selepas ketua pegawai eksekutifnya Zakaria Arshad dan tiga pegawai kanan lain digantung tugas.
Menurut lembaga pengarah FGV, mereka diarah bercuti sehingga audit dalaman selesai berhubung urus niaga antara anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd dan Safitex.
Susulan itu, Zakaria juga mendakwa berlaku isu rasuah lain dalam FGV dan memberikan keterangannya kepada SPRM di Putrajaya.
Berikutan aduan Zakaria, SPRM memulakan siasatannya terhadap FGV dan menyerbu ibu pejabat FGV minggu lalu, turut merampas beberapa kotak fail.
Dua hari lalu, lembaga pengarah FGV mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Zakaria dan ketua pegawai operasi Ahmad Tifli Mohd Talha. Mereka diberikan masa tujuh hari untuk menjawab tuduhan berkenaan.
Sementara itu, kerajaan melantik Idris Jala untuk melakukan siasatan dan mencari jalan penyelesaian, dan beliau melengkapkan siasatannya semalam.
Perdana Menteri Najib Razak memberitahu media laporan Idris sudah siap dan mengarahkan bekas menteri itu mengkaji langkah yang boleh diambil FGV bagi menyelesaikan krisis itu. – 16 Jun, 2017.
Komen