Shahrizat bimbang Umno akan parah selama-lamanya


Nabihah Hamid

Rakyat mungkin mahu Umno dan Barisan Nasional berubah wajah, kata Shahrizat Jalil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Jun, 2018.

KETUA Wanita Umno Shahrizat Jalil percaya kekalahan parti tersebut dan juga Barisan Nasional (BN) bukan disebabkan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semata-mata.

Sebaliknya, kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 itu disebabkan ramuan pelbagai faktor, katanya yang menyenaraikan sebab tersebut.

“Mungkin mereka mahu Umno dan BN tukar wajah. Isu GST, 1MDB, isu mereka mahu perubahan dalam Umno, mahu cara baru, dan tidak mahu ada warlord (pembesar tempatan), mereka mahu (Umno) lebih inklusif,” katanya.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight, Shahrizat menegaskan bahawa parti itu perlu bangkit melakukan perubahan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno terutamanya anak muda.

Kegagalan memberi nafas baru pada parti terbesar Melayu itu akan menyebabkan masa depan Umno menjadi parah, katanya.

“Kita pun kurang pembabitan dalam media sosial. Kita punya hubungan dengan rakyat mungkin kurang. Cara kita berjuang, cara melaksana polisi dan perundangan. Mereka mahu budaya dalam Umno ditukar.

“Saya percaya ini masanya Umno betul-betul mesti berani muhasabah diri. Kalau kita tak berubah saya khuatir akan parah selama-lamanya nanti,” kata bekas menteri Umno itu.

Shahrizat juga yakin pemilihan parti pada 30 Jun ini akan memberi nafas baru kepada parti.

“Saya yakin jikalau kita kembali kepada asas perjuangan yang suci tetapi kita mesti membuat perubahan. Kalau kita nak perjuang agama, bangsa, negara, bagaimana kita hendak perjuangkan.

“Cara berjuang itu kita mesti tukar,” katanya lagi yang tidak akan mempertahankan jawatannya untuk memberi ruang bagi usaha peremajaan Umno.

Dalam pemilihan kali ini juga, Umno juga membuka peluang untuk mempertandingkan kesemua jawatan, termasuk jawatan presiden yang kini kosong ekoran peletakan jawatan Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu turut meletak jawatan sebagai pengerusi BN sebagai memikul tanggungjawab atas kekalahan parti tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei. – 10 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen