VIP lantikan politik akan diberhentikan khidmat


Muzliza Mustafa

Bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dilantik smenjadi pengerusi Prasarana selepas beliau bersara daripada perkhidmatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2018.

ANTARA faedah khidmat yang baik untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) ialah faedah itu kekal walaupun pada persaraan.

Beberapa bekas menteri diberikan jawatan dalam kerajaan yang bertaraf menteri, sebuah pejabat, pasport diplomatik dan gaji lebih kurang RM20,000 sebulan.

Penjawat awam kanan yang bersara dilantik menjadi lembaga syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan kerana kesetiaan mereka dan bukannya kerana kebolehan.

Pegawai kerajaan bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, pesara kakitangan awam ini akan mendapat surat penamatan khidmat tidak lama lagi atau kontrak mereka tidak akan disambung.

Antaranya termasuk bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar; bekas presiden MIC, S Samy Vellu dan bekas penasihat kerajaan, Shahrizat Abdul Jalil.

Langkah ini, kata pegawai kanan kerajaan, adalah sebahagian daripada usaha penjimatan yang dilancarkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan untuk mengurangkan perjawatan yang tidak perlu.

Putrajaya percaya pengurangan perjawatan ini akan menjimatkan lebih kurang RM500,000 sebulan. Jumlah ini tidak akan mengurangkan beban hutang kerajaan tetapi menunjukkan kesungguhannya untuk menangani pembaziran pada setiap peringkat.

Difahamkan kerajaan baru ini juga mahu menghentikan amalan menganugerahkan tempat dalam GLC kepada orang kenamaan ini, apatah lagi mereka belum tentu pilihan terbaik untuk dilantik ke jawatan itu.

Selepas bersara daripada perkhidmatan polis pada September tahun lalu, Khalid dilantik sebagai pengerusi Prasarana, syarikat kerajaan yang mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam.

Bekas menteri Shahrizat Abdul Jalil turut tersenarai antara mereka yang bakal ditamatkan perkhidmatan atau kontrak tidak diperbaharui  di bawah pentadbiran kerajaan baharu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2018.

Samy Vellu juga seorang lagi. Beliau dilantik oleh Najib Razak sebagai duta khas ke India dan Asia Selatan. Bekas presiden MCA, Ong Ka Ting pula merupakan pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China.

Beberapa pemimpin parti komponen BN juga dilantik sebagai penasihat khas kepada menteri. Presiden MyPPP, M Kayveas misalnya merupakan penasihat khas kepada menteri pengangkutan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang semua pelantikan itu sedang disemak semula, selain 17,000 lantikan politik yang dibuat oleh kerajaan BN di bawah Najib.

“Langkah baru ini melibatkan mereka yang memegang jawatan peringkat menteri dan kedudukan kanan dalam syarikat ada kaitan dengan kerajaan,” kata seorang sumber.

“Mereka sepatutnya sudah mula mendapat surat penamatan khidmat. Sesetengah diberhentikan serta merta manakala sesetengahnya pula tidak akan diperbaharui kontrak tahun ini.”

Sumber itu menambah ada sekurang-kurangnya 30 orang dalam senarai yang hendak diberhentikan itu. – 6 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • berhentikan sahaja sebarang lantikan melibatkan politik. nanti setiap keputusan yang dibuat akan jadi bias. so lebih baik berhentikan sahaja. selain tu dapat jugak cut cost. rm 20k bukan sikit. mereka kebanyakan dah bersara, apa wajarnya melantik mereka secara kontrak pula. lebih baik berikan ruang kepada mereka yang lebih layak dan lebih berkemampuan.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan