Banyak bangau antara bangau
Anak itik tepi telaga
Banyak langau antara langau
Langau politik sakitkan mata
Burung belatuk tepi senduduk
Hutan merimbun di pinggir paya
Banyak mangkuk antara mangkuk
Mangkuk hayun selepas pilihanraya
Pulau juru kebun pelaga
Pohon betik pohon cendana
Katak puru terjun telaga
Katak politik bertukar warna
INI pantun seloka. Bunyinya kelakar tapi mesejnya memang benar. Walhal, realiti politik negara selepas pilihanraya. Kita nampak semua fiil buruk dalam pantun-pantun di atas. Tentunya, dalam konteks semasa, ia merujuk pada si pembelot politik.
Biasanya langau ialah simbolik orang daripada parti yang kalah, mulai cuba menghurung peluang menempel pada parti yang menang. Itulah langau politik yang memang menyakitkan mata.
Mangkuk hayun politik pula, ialah simbol bagi calon yang kalah tetapi tidak dapat menerima hakikat: Bahawa dirinya, partinya dan pemimpinnya telah kalah. Menjelang sebulan selepas keputusan PRU14, mangkuk hayun ini, saling salah menyalahkan antara satu sama lain.
Malah, yang diam dan menjadi pak turut selama ini, tiba-tiba bersuara megah mencela bekas bos partinya. Inilah suara-suara mangkuk hayun yang membuatkan kita terkedu melihat perangainya.
Selain itu, mangkuk hayun juga ialah orang yang terus menyalahkan orang lain terhadap nasib malangnya. Kalau tidak menyalahkan pemimpin parti lawan atau menyalahkan pemimpin parti sendiri, mereka pastinya menyalahkan media massa. Malah, lebih teruk, orang jenis ini sanggup menyalahkan pengundi juga.
Katak politik pula, bukanlah isu baharu. Watak katak politik wujud sepanjang zaman. Fenomena ini tidak akan berlaku pada anggota Republikan atau Demokrat dalam politik Amerika Syarikat. Namun, di Malaysia, katak puru ialah amfibia politik yang berkeliaran mencari peluang melompat parti selepas pilihanraya.
Dalam kata lain, mana yang gagal dalam PRU 14, atau ada potensi menjual kerusi yang dimenanginya, pasti akan mencari peluang untuk melompat parti.
Kalau memanjat itu kera
Panjang lehernya itu angsa
Dipilih rakyat disuruh bekerja
Tapi sibuknya menjaja kuasa
Berbeza dengan 13 kali PRU yang lalu, PRU14 telah mengubah lanskap negara kerana pertama kali BN kalah. Banyak ahli politik BN terutama yang menang mula merasakan kerusi yang dimiliki tidak bererti. Bagu Ahli Parlimen atau ADUN mata duitan, mereka kecewa.
Apa erti menang, kalau status wakil rakyat tidak lagi melambangkan kuasa dan potensi membuat harta.
Jadi, tidak hairanlah kalau 24 jam selepas tertubuhnya kerajaan baharu, ada wakil rakyat BN yang sudah mula menunjukkan belang untuk melompat parti. Tentulah ketika menjelang sebulan, bertambahlah kira-kira; mencari ruang menjual kerusinya.
Hantu sebenarnya diikat pada bulan puasa. Sebab ia kategori syaitan juga. Maka, sebab ia suku-sakat syaitan, semangatnya ditambat sebagai merahmati Ramadan.
Cuma, hantu politik nampaknya tetap berkeliaran di sana-sini sepanjang Ramadan ini. Individu macam Dr Mahathir selaku PM, serta Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR, pasti antara yang mula nampak, betapa banyaknya kelibat hantu.
Tentu ada wakil rakyat yang secara nyata atau sekadar memberi bayangan, mula menawarkan sokongan untuk melompat parti. Ini pasti. Pembelot BN, terutama wakil rakyat UMNO sekarang, akan mula menawarkan sokongan bagi menambahkan kerusi parti Bersatu mahupun PKR.
Nauzubillah. Minta jangan ada. Sebab kita akan menyampah untuk melihat semua kedurjanaan ini. Menjadi kerajaan atau pembangkang, kita berharap semua Yang Berhormat akan menjalankan tugasnya. Sebab ini amanah demokrasi.
Awas. Kita sedang berdepan dengan banyak langau yang menghurung sampah sekarang. Juga banyak hantu yang bergentayangan. Lebih teruk, ialah katak yang sedia melompat parti pada bila-bila masa sahaja.
Ahli politik sedang bersandiwara. Tapi jangan lupa – rakyat sedang menontonnya!
Wallahua’lam. – 6 Jun, 2018.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen