AKTIVIS Parti Sosialis Malaysia Pulau Pinang ditahan polis hari ini selepas membantah pengusiran beberapa penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Choo Chon Kai berkata, R. Karthiges ditahan bersama seorang lagi individu yang merupakan rakan kepada penduduk.
“Mereka ditahan kerana meghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kemudiannya, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai, yang kawasannya juga termasuk Padang Tembak di Kebun Bunga dan membantu kedua-dua yang ditahan itu berkata, mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada akhir Disember lalu, Karthiges membantu lima keluarga yang dimaklumkan untuk mengosongkan kediaman mereka di unit PPR Padang Tembak.
Mereka mendakwa kerajaan negeri memberikan “alasan tidak munasabah” berhubung pengusiran itu.
Pihak berkuasa perumahan negeri dilaporkan mengambil tindakan pagi ini untuk mengusir beberapa keluarga apabila Karthiges dan beberapa lagi individu cuba campur tangan. – 5 Jun, 2018.
Komen