PARTI Warisan Sabah akan meneruskan rancangan untuk mendapatkan kad pengenalan sendiri atau “IC Sabah”.
Bendahari parti itu Terrence Siambun berkata kad pengenalan khas untuk “rakyat Sabah tulen” itu merupakan antara janji Warisan pada pilihan raya dan tiada keputusan dibuat untuk membatalkan cadangan itu.
Beliau mengulas dakwaan ketua Wanita DAP Sabah Jannie Lasimbang bahawa kerajaan negeri yang diterajui Warisan itu akan membatalkan cadangan berkenaan.
“Baik Presiden Warisan (Shafie Apdal) mahupun timbalan presiden atau mana-mana ahli majlis tertinggi tidak pernah berkata mereka akan batalkan rancangan IC Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
IC Sabah dicadangkan oleh suruhanjaya siasatan diraja berhubung masalah pendatang tanpa izin Sabah atau Projek IC, di mana bukan warganegara diberikan kad pengenalan dalam jumlah besar pada tahun 1990-an. Projek dikatakan rahsia itu membabitkan parti politik pemerintah dan agensi kerajaan menyebabkan perubahan drastik terhadap demografi etnik Sabah.
Siambun berkata, walaupun cadangan IC Sabah bukan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan, ia tidak bermakna idea itu akan dibatalkan.
“Rakyat Sabah mahu penyelesaian diberikan oleh rakyat Sabah dan bukan dibuat daripada luar Sabah.”
Siambun berkata Warisan akan meyakinkan Upko dan rakan PH dalam kerajaan berhubung cadangan itu, dan percaya mereka akan menerimanya.
“Dengan mengeluarkan IC Sabah, sekurang-kurangnya kita daoat kurangkan ancaman militan dan ekstremis yang menjadikan Sabah sebagai transit untuk ke Malaysia Barat. Ia juga daoat menapis pemegang Projek IC di negeri itu, maslaah yang hingga kini masih belum selesai,” kata Siambun. – 5 Jun, 2018.
Komen