Sabah perlu dapatkan hak petroleum, kata pemimpin negeri


Jason Santos

KERAJAAN negeri Sabah yang baharu perlu mengambil langkah proaktif untuk mendapatkan haknya, atau berdepan risiko kehilangan sumber petroleum negeri kepada kerajaan persekutuan, kata menteri tugas-tugas khas dan pengerusi jawatankuasa hak Sabah Teo Chee Keng. 

Presiden Parti Demokratik Liberal itu juga berkata tindakan Petronas membuat tuntutan terhadap Sarawak dan menuntut hak eksklusif bagi sumber minyak negara juga akan memberi kesan kepada Sabah, yang merupakan negeri penyumbang terbesar sumber minyak di negara ini. 

Teo berkata, dalam manifesto pilihan rayanya, Pakatan Harapan berjanji kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk memberikan royalti minyak 20% berbanding 5% sekarang. 

“Sekarang apabila mereka membentuk Kerajaan Persekutuan dan sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah, mereka perlu hormatinya tanpa penangguhan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Katanya, ia boleh dimulakan dengan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang menetapkan sempadan Sabah yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan tanpa persetujuan negeri, kini mesti digubal di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Ini merupakan keperluan perlembagaan yang diperuntukkan di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

“Kegagalan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu akan menyebabkan Akta tersebut tidak sah atau tidak terpakai ke atas Sabah,” kata Teo.

Kegagalan untuk menggubal Akta ini bermakna Sabah masih mempunyai hak bagi kawasan perairan dan sumber minyak yang ada di dalamnya, katanya.

Dalam posting di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Penampang Darrel Leiking berkata Sabah dan Sarawak kini perlu membentuk Blok Borneo untuk mencabar tuntutan Petronas. 

“Sabah dan Sarawak perlu menuruskan sumbernya sendiri. 

“Kita boleh berkongsi dengan seluruh persekutuan tetapi ia tidak sepatutnya merugikan rakyat Sabah dan Sarawak. 

“Semakin banyak sebab untuk Blok Borneo dibebaskan sekarang, kerana perubahan kerajaan baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, ahli Parti Warisan Sabah menlancarkan petisyen alam talian hari ini menyatakan semua sumber yang diambi dari Sabah merupakan hak rakyat Sabah. 

Ini berdasarkan alasan bahawa rakyat Sabah bersetuju untuk berkongsi sumbernya sendiri, sebagai balasan kepada sokongan Persekutuan mengenai hal-hal tertentu seperti keselamatan dan kesihatan, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.– 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen