Mydin cadang peningkatan gaji minimum dibuat secara berkala


Noel Achariam

Mydin yang mempunyai lebih 10,000 pekerja antara syarikat yang bimbang peningkatan gaji minimum mendadak kepada RM1,500 akan menjejaskan pasaran dan operasi kewangan syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2018.

RANCANGAN kerajaan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 perlu dilakukan dengan kaedah yang progresif, kata Ameer Ali Mydin yang mengetuai rangkaian kedai popular, Mydin.

Ameer Ali yang merupakan naib presiden Persatuan Peruncit Bumiputera berkata peningkatan gaji minimum bukanlah masalah tetapi pada masa sama menggesa kerajaan untuk memberikan kadar lebih rendah supaya tidak “mengejutkan” pasaran.

“Peruncit bergantung kepada pendapatan tunai jadi jika mereka ada pendapatan tunai sudah tentu ia boleh membantu peruncit tetapi kita tak boleh kejutkan pasaran, jadi peningkatan progresif dan yang diterima sentiasa lebih baik,” katanya selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.

Ameer berkata beliau mencadangkan peningkatan berkala RM50 atau RM100 setahun yang boleh membantu peruncit menguruskan bajet mereka.

“Supaya kami tahu arah kami dan ini akan memberi manfaat kepada peruncit.

“Semua kami ada struktur kos. Saya ada 10,000 pekerja dan menaikkan gaji minimum, perniagaan akan terjejas teruk.

“Perlu ada rancangan peningkatan (gaji minimum).”

Kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan dahulu adalah RM1,200, tetapi Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya mereka berjanji menaikkan kepada RM1,500.

Ameer yang juga pengendali Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang kerugian sehingga RM100 juta.

KR1M adalah projek tanggungjawab sosial korporat Mydin tetapi beliau mengatakan tidak menjangka syarikatnya rugi sebanyak itu.

Mengenai penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun lalu, Ameer berkata harga barangan sepatutnya turun sekitar 6%.

Tetapi perkara itu masih belum berlaku.

“Selepas penghapusan GST, harga patut turun sehingga 5.6%. Kita perlu seminggu dua untuk tengok (penurunan).”

Ameer mengatakan Mydin habiskan hampir RM20 juta untuk memasang sistem patuh GST.

Maka, beliau mengharapkan kerajaan melakukan transisi kepada SST dengan lebih mudah.

“Kami harap SST akan guna sistem hybrid dengan sistem sedia ada.” – 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen