KERAJAAN perlu menurunkan harga ubat-ubatan kerana harga sekarang yang tinggi menghalang pesakit daripada membelinya, kata Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Martin Khor.
Katanya, langkah Kementerian Kesihatan menurunkan harga ubat penyakit Hepatitis C misalnya daripada RM300,000 kepada RM1,000 atau 99% penurunan sangat dialu-alukan.
“Ada 500,000 rakyat Malaysia yang berpenyakit Hepatitis C dan jika anda ambil ubat ini kemungkinan 95% boleh sembuh.
“Tetapi sebelum ini harga ubat mahal, ramai orang tak mampu,” katanya selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, walaupun tumpuan diberikan kepada harga rumah dan makanan, ubat-ubatan juga perlu diberikan perhatian kerana ramai rakyat Malaysia mengidap penyakit kronik.
“Paling mustahak adalah kos perubatan. Jika ada ahli keluarga jatuh sakit, kos rawatan penyakit kronik sangat mahal.
“Kajian menunjukkan satu pertiga rakyat Malaysia tidak mampu mengeluarkan RM1,000 jika terdapat kecemasan kerana mereka tidak ada duit.
“Kerana itulah kita perlu menurunkan harga ubat dan itulah yang kami beritahu mereka.” – 5 Jun, 2018.
Komen