JABATAN Imigresen tetap akan meneruskan pelaksanaan bayaran penalti sehingga RM1,000 terhadap mereka yang kehilangan pasport kerana kecuaian, kata Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali.
Katanya, pelaksanaan penalti akan berkuatkuasa selepas dibentangkan di luluskan di sidang Parlimen.
“Kita perlu bentangkan di Parlimen terlebih dahulu kerana ia membabitkan Akta FI 1951. Dan insyallah pada Parlimen kali ini,” katanya pada sidang media selepas program lawatan Jabatan Imigresen di Putrajaya hari ini.
Sidang Parlimen akan datang dijangka akan diadakan hujung Jun ini.
Jabatan Imigresen mengumumkan pelaksanaan penalti untuk kehilangan pasport kerana kecuaian Januari lalu sebelum kerajaan bertukar pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Cadangan penalti itu melibatkan denda serendah RM200 bagi yang kehilangan pasport kali pertama, RM500 untuk kali kedua dan RM1,000 untuk kali ketiga.
Mustafar berkata keputusan mengenakan penalti itu adalah langkah kesedaran kepada orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ke atas pasport mereka. – 5 Jun, 2018.
Komen