Muhyiddin rela bertanggungjawab atas kecuaian hingga Jamal lolos


Diyana Ibrahim

Jamal Yunos dihendaki untuk membantu siasatan sembilan kes, tetapi berjaya melarikan diri dipercayai ke Indonesia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2018.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau bertanggungjawab atas kecuaian pihak berkuasa sehingga membolehkan pemimpin Umno, Jamal Yunos meloloskan diri ke Indonesia.

“Semua jabatan (keselamatan) di bawah saya dan kerana itu saya fikir saya bertanggung jawab (apabila Jamal meloloskan diri),” kata Muhyiddin dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa Jamal dapat melepaskan diri akibat tindakan cuai pihak berkuasa dan menambah sehingga kini pasukan keselamatan tidak mengetahui bagaimana pemimpin Gerakan Baju Merah itu meloloskan diri.

Muhyiddin juga menegaskan, Jamal keluar dari negara mengunakan cara tidak sah dan perkara itu akan disiasat pihak berkuasa.

Jamal yang merupakan ketua bahagian Umno Sungai Besar dipercayai melarikan diri ke Indonesia selepas polis memintanya hadir ke balai polis minggu lalu untuk siasatan berhubung sembilan kes.

Pemimpin Gerakan Baju Merah itu tidak hadir untuk disoal siasat di balai polis Ampang namun tampil dalam video meminta Muhyiddin memberi jaminan bahawa beliau tidak “dizalimi” polis jika menyerah diri.

Polis telahpun mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.

Siasatan bagi tiga kes sudah dilengkapkan ketika dia berada di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Terbaru pelarian itu mengumumkan di Facebook yang dia akan bertanding merebut jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti dalam pada hujung bulan ini. – 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen