Shahrizat umum tidak pertahan jawatan ketua Wanita Umno


Nabihah Hamid

SHAHRIZAT Jalil tidak akan mempertahankan jawatan ketua Wanita Umno dan mahu memberikan laluan kepada muka-muka baharu untuk mengemudi sayap wanita parti terbesar melayu itu. 

“Saya telah memaklumkan kepada exco bahawa saya tidak akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno Malaysia. 

“Saya membuat keputusan ini kerana saya menerima dengan seikhasnya keputusan rakyat Malaysia yang menolak Umno seadanya pada hari ini. Dan mereka mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam Umno,” katanya dalam satu temubual bersama The Malaysian Insight. 

Dengan pengumuman Shahrizat ini, semua tiga sayap Umno akan menempuh era baru kepimpinan apabila semuanya bertukar ketua.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin minggu lalu mengumumkan bertanding jawatan naib presiden. Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin juga mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti itu dan akan memberi tumpuan berkhidmat sebagai ahli Parlimen Masjid Tanah.

Shahrizat yang merupakan bekas menteri Umno itu menyeru Wanita Umno terus bangkit dalam mengembalikan kepercayaan rakyat selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

“Kita mesti sabar dan waras menerima keputusan rakyat. Kerana sebagai orang politik kita berkhidmat untuk rakyat bukan untuk diri kita sendiri. 

“Saya amat percaya bahawa Wanita Umno memerlukan muka baharu untuk menerajui Wanita umno. Mungkin yang lebih muda yang mungkin akan bawa tenaga baru, idea baru, cadangan baru,” katanya lagi. 

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Exco di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. 

Shahrizat turut yakin Wanita Umno akan melalui fasa pembaharuan dan terus menjadi tulang belakang parti Umno kerana mempunyai hampir 1.3 juta ahli seluruh negara.

“Kalau kita mahukan tentukan parti kita relevan, kita mesti menentukan apa jua yang kita buat mesti mendapat sokongan dan menambat hati rakyat. 

“Keberanian menerima hakikat bahawa rakyat sudah tidak mahu perjuangan kita, cara kita yang lama. Maka dengan itu, saya menasihati Wanita Umno bahawa kita mesti tukar cara kita berkhidmat dan memperjuangkan supaya kita boleh jadi relevan kepada negara,” katanya lagi. 

Pemilihan jawatan tiga sayap Umno akan berlangsung pada 23 Jun, seminggu sebelum pemilihan bahagian dan Majlis Tertinggi. – 5 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen