SELEPAS tiga minggu yang kontroversi, Yang di-Pertuan Agong akhirnya berkenan Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara, dalam satu langkah yang disebut oleh rakan-rakan peguam veteran itu sebagai sesuatu yang “tidak mengejutkan”.
“Dari zaman persekolahan hinggalah terkenal sebagai peguam, Thomas adalah seorang yang jujur dan sentiasa berterus terang,” kata rakan sekelasnya di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur.
Bekas wartawan, Rajan Moses, yang kini menjadi penasihat di Sapura Kencana berkata nama Thomas tidak pernah terlepas dari disenaraikan sebagai calon bagi jawatan kanan dalam bidang perundangan.
“Ada khabar angin sejak sebelum pilihan raya 2103 lagi, dan kemudian sekarang. Beliau disebut-sebut sebagai calon bagi AG (peguam negara).
Rajan dan Thomas menamatkan persekolahan di VI pada 1968.
Tambah beliau, Thomas sejak di sekolah lagi seorang pelajar yang bijak dan disebut sebagai orang yang akan memberi impak kepada dunia.
“Satu perkata mengenainya, beliau seorang yang berterus terang. Beliau sentiasa tegas, tidak pernah goyah dan tetap dengan pendapatnya,” Rajan memberitahu The Malaysian Insight.
Thomas dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1952 dan bersekolah di Sekolah Inggeris Pasar Road. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Uiversity of Manchester pada 1973 dan diterima masuk sebagai peguam di Middle Temple setahun kemudian.
Beliau mempelajari Hubungan Antarabangsa di London School of Economics, memperoleh M.Sc. pada 1975 dan kemudian berkhidmat di Badan Peguam pada 1976.
Thomas juga terkenal sebagai peguam bicara yang disegani, mengendalikan beberapa kes tumpuan umum. Antaranya, mewakili kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu dalam kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas dan mewakili bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim dalam samannya terhadap Bank Islam Malaysia Berhad.
Beliau juga peguam kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, sekarang Menteri Kewangan, dalam pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah dan pembelian sebuah banglo pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Thomas menghasilkan dua buku esei – Anything but the Law, mengenai pilihan raya dan ekonomi, dan Abuse of Power, mengenai undang-undang dan perlembagaan. – 5 Jun, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen