SUASANA di upacara pengebumian T. Nhaveen hari ini penuh emosi apabila lebih seribu orang memberikan penghormatan terakhir pada remaja itu, yang bercita-cita menjadi pemuzik dan ramai mengenangnya sebagai remaja baik.
Nhaveen, 18, dari Taman Tun Sardon, Pulau Pinang dibelasah sekumpulan remaja lelaki – beberapa daripadanya bekas rakan sekolah menengah yang pernah membulinya. Nhaveen meninggal dunia semalam selepas seminggu koma.
Di tempat pengebumian Bukit Gantung petang tadi, terdengar laungan “kami mahu keadilan” daripada ahli keluarga yang berkumpul di keliling keranda.
Seorang wanita yang mendakwa saudara rapat berkata Nhaveen masih terlalu muda dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
“Tolonglah beri dia keadilan. Jangan biarkan perkara seperti ini berlaku lagi,” katanya.
Ketua Menteri Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II Dr P. Ramasamy, exco Jagdeep Singh Deo dan Phee Boon Poh, Adun Seri Delima RSN Rayer antara yang hadir pada pengebumian remaja itu untuk memberikan penghormatan terakhir.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bagan Serai daripada PKR N. Surendran turut kelihatan.
Lim berkata sekolah perlu mengambil tindakan terhadap kes buli membabitkan pelajar mereka walaupun insiden berlaku di luar kawasan sekolah.
“Tanggungjawab sekolah perlu diperluaskan. Mereka perlu lapor polis untuk tangani insiden buli jika tahu ia membabitkan pelajar mereka,” katanya.
Lim berkata perlu ada prosedur operasi standard yang memerlukan guru dan sekolah membuat laporan, dan beri penjelasan jika gagal melaporkan kes seumpama itu.
“Jika guru tahu berlaku insiden buli, contohnya mereka nampak lebam pada badan pelajar, mereka perlu lapor pada polis dan menjawab jika gagal berbuat demikian.
“Sekarang sekolah tidak bertanggungjawab kerana insiden berlaku di luar sekolah,” katanya, menambah Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan perintah baharu kepada sekolah untuk menjadikan mereka bertanggungjawab.
Beliau berkata apa yang berlaku pada Nhaveen sepatutnya boleh dicegah jika tindakan diambil oleh sekolah ketika mangsa dan penyerangnya masih pelajar di situ.
“Nhaveen bukan lagi pelajar tetapi bekas rakan sekolahnya masih buli dia, kerana mereka sudah biasa buli dia.
“Mereka terus menyakiti mangsa kerana tidak ada tindakan dari sekolah. Perkara ini perlu dihentikan. Sekolah tidak boleh cuci tangan,” katanya.
Lim berkata mungkin pembuli Nhaveen kini perlu berdepan dengan undang-undang tetapi ia sudah terlalu lambat kerana satu nyawa sudah pun hilang.
Mayat Nhaveen akan disempurnakan di krematorium Batu Gantung. – 16 Jun, 2017.
Komen