DUA pelajar sekolah menengah yang disyaki terlibat dalam pembunuhan T. Nhaveen berusia 18 tahun kini ditahan reman selama empat hari atas tuduhan pemerasan dan merusuh.
Kedua-dua mereka berumur 16 dan 17 tahun, juga akan disiasat atas tuduhan membunuh, bersama tiga suspek lain yang berusia 18 tahun yang akan dibawa ke mahkamah esok untuk direman, kata peguam Baljit Singh, yang bercakap bagi pihak keluarga Nhaveen.
“Saya diberitahu tiga yang lain akan dibawa ke mahkamah untuk direman bagi siasatan pembunuhan itu esok,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang hari ini.
Dilaporkan lima suspek memukul teruk Nhaveen pada lewat malam Jumaat. Semasa Nhaveen dihantar ke Hospital Pulau Pinang awal pagi Sabtu, dia sudah tidak sedarkan diri.
Nhaveen berada dalam keadaan koma sehingga dia meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang petang semalam.
Peguam V. Parthipan mewakili empat daripada suspek.
Ibu dan saudara perempuan salah seorang suspek, yang masih bersekolah, berkata mereka tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang berlaku.
Kakaknya berkata, mereka terkejut apabila adiknya disyaki terlibat dalam kejadian itu.
“Ini berlaku selepas dia tiba-tiba mendapat panggilan daripada kawan.
“Kami sedang makan di rumah pada malam itu. Kemudian dia mendapat panggilan telefon. Dia bangun dan keluar rumah, tanpa memberitahu ke mana dia pergi,” kata ibunya ketika ditemui di bangunan mahkamah.
Seorang lagi peguam E. Gnasegaran mewakili suspek yang lain. – 16 Jun, 2017.
Komen