Rais Yatim sertai Bersatu 


Radzi Razak

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menyampaikan kad keahlian parti itu kepada Rais Yatim pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Jun, 2018.

BEKAS pemimpin veteran Umno Rais Yatim akhirnya diumumkan menyertai Bersatu oleh pengerusinya Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau diberikan kad keahlian parti itu  di hadapan 2,000 ahli dan jemputan Majlis berbuka Puasa Bersatu di Putrajaya hari ini.

Pada Mei lalu, keanggotaan Rais sebagai ahli Umno dipertikai kerana didakwa berkempen dan mengeluarkan kenyataan di platform Bersatu dan mengkritik kepimpinan parti sendiri. 

Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor kemudiannya mengumumkan siasatan berhubung kedudukan Rais sebelum parti itu memutuskan tindakan seterusnya.

Semalam, Rais turut mempertahankan kerajaan PH dan Dr Mahathir berikutan tindakan kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Menurutnya, ia tidak bercanggah dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan atas nasihat perdana menteri.

Justeru, Rais meminta agar perkara itu diserahkan kepada Dr Mahathir untuk menjalankan tugas bersama barisan kabinet yang dibentuk. 

“Tidak ada yang salah dengan Tommy Thomas sebagai AG.

“Hentikan percanggahan ini apabila tidak ada alasan undang-undang untuk menimbulkan masalah,” katanya. – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen