PAKAR Undang-undang Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk melantik panel peguam bebas bagi menjadi penasihat istana berkaitan hal ehwal undang-undang.
Langkah tersebut akan memastikan tiada lagi kebimbangan Majlis Raja-Raja mengenai perlantikan peguam negara daripada kalangan bukan Islam, katanya.
“Tidak timbul pelantikan peguam negara boleh mengancam orang Melayu dan Islam. Saya rasa itu mengarut.
“Isu Islam sebenarnya, saya sudah bangkitkan dahulu kenapa Majlis Raja-Raja tidak ada penasihat bebas. Mengapa mesti bergantung kepada peguam kerajaan yakni peguam negara.
“Ini masalahnya. Bagi saya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mesti ambil peluang untuk bebas daripada kerajaan.
“Perlu ada panel sendiri dan Jakim pun sepatutnya di bawah Raja-raja bukan bawah perdana menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kebimbangan Majlis Raja-Raja selepas muncul laporan calon pilihan Perdana Menteri Dr Mahathir untuk peguam negara baharu bukan daripada kalangan Islam.
Pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara dipercayai ditolak oleh Istana Negara dan Majlis Raja-Raja, pelbagai ulasan dan pandangan diberikan oleh pelbagai pihak tentang kelayakan beliau.
Perkara 145(1) menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai peguam negara bagi Persekutuan. – 4 Jun, 2018.
Komen