Gesaan haram evangelicalisme tak halang ribuan Kristian hadir himpunan di Sabah


Noel Achariam

Acara 'Borneo Revival Healing Rally' di Sandakan berlangsung tanpa halangan pada Rabu. - Gambar The Malaysian Insight, 16 Jun, 2017.

KIRA-KIRA 20,000 penganut Kristian menghadiri “Borneo Revival Healing Rally” di Telupid, Sandakan dan Ranau, Sabah, minggu lalu, dengan tiada laporan gangguan selepas perhimpunan hampir sama diharam dan dibatalkan di Melaka dan Sarawak, awal bulan ini.

Satu lagi perhimpunan Kristian dirancang minggu depan di Keningau dengan penganjur mengatakan mereka mendapat sokongan daripada pihak berkuasa negeri Sabah.

“Jika kami membatalkan acara di sini, masyarakat Kristian akan kecewa kerana kami merancangnya selama setahun. Tambahan pula, tiada larangan di sini,” kata seorang jurucakap penganjur memberitahu The Malaysian Insight Malaysia.

Awal bulan ini, bantahan daripada kumpulan Melayu terhadap “Jerusalem Jubilee” membawa kepada pengharamannya di Melaka, manakala pemimpin gereja Sarawak membatalkan acara Kristian di Miri walaupun ia mendapat restu pemimpin negeri. 

Perhimpunan di Telupid, Sandakan dan Ranau diadakan pada 9, 14, dan 15 Jun, manakala acara Keningau akan diadakan pada 20 Jun.

The Malaysian Insight melawat Keningau semalam, bandar yang terletak kira-kira dua jam jika memandu dari Kota Kinabalu, dan bertemu Sidang Injil Borneo (SIB) Ria Keningau Pastor Mic Azari, yang berkata majlis Ahad ini dianjurkan oleh Majlis Gereja Keningau.

Perhimpunan kali ini dinamakan “All Borneo Revival Concert”, melibatkan sesi doa dan dan penyembahan, penyembuhan ajaib dan ceramah oleh panel jemputan.

“Tiada publisiti tentang acara ini. Jemputan dikongsi di kalangan orang Kristian secara peribadi, melalui kumpulan Interior Prayer Network (IPN) kami.

“Kami perlu berhati-hati kerana mungkin ada orang lain di luar sana yang mahu mengganggu acara ini,” kata Mic, sambil menambah mereka mengetahui apa yang berlaku kepada perhimpunan yang dirancang di Melaka dan Sarawak.

Keningau mempunyai penduduk lebih 200,000, dengan lebih 60% terdiri daripada bukan Islam.

“Kami di Keningau masih berpegang kepada jaminan batu bersumpah Keningau yang menetapkan kebebasan beragama,” kata Mic, merujuk kepada monumen yang memperingati syarat bagi Sabah bersetuju untuk menyertai Malaya dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia.

“Ini juga termasuk dalam Rukun Negara. Islam adalah agama negara tetapi yang lain bebas untuk mengamalkan kepercayaan mereka,” kata Mic sambil menambah pihak penganjur menjangkakan kehadiran besar pada Ahad ini.

Sementara itu,  Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin mendakwa “gerakan berbahaya adalah evangelicalisme” perlu dibendung kerana “mengancam keharmonian agama di Malaysia.”

Azril menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang anti-evangelicalisme demi memastikan percubaan gerakan evangelical untuk mendominasi dakyah Kristian tidak berlaku.

Pada perhimpunan di Telupid, Sandakan dan Ranau, jurucakap jawatankuasa penganjur memberitahu The Malaysian Insight, hampir 20,000 Kristian menghadiri acara itu.

Menurutnya, perhimpunan berlangsung tanpa gangguan di Sandakan. Acara ini dirasmikan Adun Kamunting Charles O. Pang daripada Parti Demokratik Liberal, sebuah parti komponen Barisan Nasional.

Jurucakap itu berkata, pemimpin gereja tempatan juga berucap di perhimpunan tersebut, dan kemuncak majlis itu ialah penyembuhan ajaib.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri, mengharamkan “Jerusalem Jubilee” di Melaka, berkata ia akan menyinggung sensitiviti umat Islam, terutama pada bulan Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup berkata pengharaman perhimpunan di Melaka oleh pihak berkuasa adalah difahami tetapi pemimpin Gereja di Sarawak tidak sepatutnya membatalkan acara di sana kerana kehadiran melibatkan ramai penganut Kristian, sambil menambah kerajaan negeri tidak mempunyai bantahan terhadap acara itu.

Penduduk Sabah lebih 3 juta adalah negeri kedua dengan penduduk Kristian terbesar di Malaysia, dengan 853,726 penganut.

Semua acara di Sabah dianjurkan Good News Ministry, Sandakan Inter Churches dan gereja daerah Telupid.  – 16 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen