KIRA-KIRA 1.2 juta suri rumah akan layak untuk mendapat perlindungan kecederaan dan kemalangan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso), kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
Beliau berkata kerajaan pada masa ini sedang mencari mekanisme yang sesuai untuk mendapatkan dana bagi pelaksanaan caruman tersebut dan dari mana ia dapat diperoleh memandangkan suri rumah tidak bekerja di bawah mana-mana majikan.
“Bagaimanapun, saya mahu Perkeso melindungi semua rakyat Malaysia. Tetapi kita mahu mulakan caruman untuk suri rumah kerana mereka memainkan peranan penting untuk negara,” katanya.
“Sumbangan mereka sangat penting.
“Buat masa ini, pembantu rumah pun ada insurans tapi suri rumah tak ada. Jadi kita sedang cari jalan bagaimana 1.2 juta suri rumah ini mempunyai perlindungan keselamatan di bawah Perkeso.
“Ia akan dilaksanakan pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.
Setakat ini, Perkeso melindungi pekerja sektor swasta melalui caruman bulanan daripada majikan.
Rancangan yang diumumkan Kulasegaran itu sejajar dengan dasar kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) terhadap pekerja dan wanita, usahawan dan suri rumah.
Salah satu polisi yang ditekankan oleh PH merupakan 2% caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah yang diperoleh daripada gaji suami mereka.
Sementara itu, Kulasegaran berkata kerajaan sedang mendesak agar lebih ramai pemandu teksi membuat caruman dengan Perkeso memandangkan mereka lebih terdedah kepada kemalangan.
“Kita mempunyai sekitar 90,000 pemandu teksi di negara ini tapi hanya 4,000 yang mencarum. Kita mahu tingkatkan jumlah ini supaya mereka dilindungi jika cedera kemalangan,” katanya. – 4 Jun, 2018.
Komen