Zakir Naik ditangkap jika langgar undang-undang Malaysia


Radzi Razak

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik akan dikenakan tindakan jika melanggar undang-undang Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

TINDAKAN akan dikenakan terhadap penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik jika beliau melanggar undang-undang Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Zakir akan dilindungi daripada sebarang permohonan ekstradisi atau tidak, serta pendirian kerajaan terhadap warganegara India itu.

“Saya fikir sama ada Zakir warganegara atau tidak, masih tertakluk pada undang-undang. Jika beliau didapati tidak mengikut (undang-undang) sudah tentu kita ambil tindakan berpatutan.

“Saya diberitahu dia diberi status PR (pemastautin tetap) oleh kerajaan sebelum ini. Isunya sekarang. Jika pun dia ada PR, dia masih tertakluk pada undang-undang sama ada isu agama, jenayah dan tidak akan dilindungi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Kerajaan India sebelum ini pernah dua kali memohon perintah ekstradisi dan notis merah daripada Interpol untuk menahan Zakir yang mempunyai hubungan tegang dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Nerendra Modi itu.

Modi baru selesai membuat lawatan suai kenal bersama rakan sejawatnya, Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Zakir yang turut pernah mendapat anugerah tokoh Maal Hijrah ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, turut menjadi sasaran kumpulan pendesak India dan hindu negara ini serta golongan liberal yang menganggap Zakir seorang pemimpin ekstrem dan terlibat dalam keganasan.

Bagaimanapun, beberapa pihak seperti kumpulan pendesak Melayu Perkasa, PAS serta Mufti Perlis Mohd Asri Zainol Abidin berkali-kali mempertahankan Zakir dan menyeru Malaysia melindungi beliau.

Pada 8 November lalu timbalan perdana menteri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak menerima permohonan ekstradisi daripada New Delhi untuk membawa pulang Zakir bagi didakwa atas tuduhan mempromosi aktiviti keganasan di negara itu.

Zahid yang juga menteri dalam negeri ketika itu berkata, sekiranya kerajaan India ada membuat permohonan itu berdasarkan Bantuan Undang-undang Bersama (MLA), Putrajaya akan memenuhi permintaan itu.

Bagaimanapun katanya, Zakir bukan rakyat Malaysia dan tidak menetap di negara ini sebaliknya hanya memiliki status penduduk tetap. – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen