Kabinet sokong PM dalam isu peguam negara, kata Muhyiddin


Radzi Razak

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau berharap isu pelantikan peguam negara dapat diselesaikan segera oleh pihak istana dan perdana menteri dalam masa terdekat menggunakan kebijaksanaan masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

JEMAAH menteri menyokong penuh keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Tommy Thomas sebagai peguam negara, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu bagaimanapun berharap isu pelantikan itu dapat diselesaikan segera oleh pihak istana dan perdana menteri dalam masa terdekat menggunakan kebijaksanaan masing-masing.

Ini kerana kelewatan pelantikan peguam negara boleh merencatkan perjalanan reformasi institusi negara dapat dilaksanakan, katanya.

“Saya harap perkara ni dapat diselesaikan dgn kebijaksanaan kedua-dua pihak perdana menteri dan kerajaan dengan pihak istana. Saya dimaklumkan ada mesyuarat Majlis Raja-raja, dan mungkin itu boleh bantu menyelesaikan isu itu.

“Bagi pihak jemaah menteri, kami beri sokongan padu kepada perdana menteri kerana ini salah satu langkah yang amat penting untuk menentukan proses penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain lagi dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Muhyiddin berkata masalah berlaku apabila pelantikan itu tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya tetapi berharap keputusan dapat dicapai mengikut kebijaksanaan masing-masing dalam masa terdekat.

“Kerana di depan kita, kita tau ada pelbagai isu dan masalah besar di negara kita. Dan Kalau itu dapat diatasi secara sebaiknya bersandarkan pertimbangan bijaksana dan juga mengikut peruntukan yang ada dalam perlembagaan, saya tak fikir ia akan jadi isu berlarutan yang tidak dapat diselesaikan.

“Saya tidak mahu nak jangkakan akan jadi satu krisis berlarutan. Mungkin ada sedikit masalah yang kita tau, tapi pimpinan baru PH mahu lihat supaya segala bentuk kerjasama antara semua pihak terlibat dapat selesaikan masalah. Ini harapan kita,” katanya.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan menolak cadangan Dr Mahathir memohon perkenan agar Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas.

Pelantikan itu juga diharap akan menjamin adanya seorang peguam yang cekap dalam perbicaraan yang boleh mengendalikan kes tumpuan termasuk pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Tommy merupakan pilihan sebulat suara semua parti komponen PH.

Bagaimanapun ia menjadi perdebatan nasional apabila pemimpin pembangkang termasuk Umno dan PAS mempertikaikan pemilihan seorang bukan Islam atas alasan Malaysia negara Islam dan seorang peguam negara perlu menasihati kerajaan termasuk dari sudut Islam. – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen