Amaran akhir, jangan sabotaj kerajaan


Zulkifli Sulong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan mempunyai bukti penglibatan kakitangan awam termasuk ketua setiausaha kementerian yang memakai baju BN ketika kempen PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2018.

KENYATAAN Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kesetiaan pegawai kanan kerajaan kepada pentadbirannya minggu lalu adalah amaran akhir sebelum tindakan diambil terhadap mereka, kata sumber.

Sumber berkata tindakan itu bagi memastikan semua pelan pembaharuan dan usaha kerajaan memulihkan negara tidak terjejas atau disabotaj oleh pegawai kanan kerajaan ini, yang ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berkempen untuk Barisan Nasional (BN).

“Dr Mahathir bimbang adakah pegawai yang ada setia atau tidak kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menjalankan dasar-dasar kita nanti,” kata sumber itu yang maklum tentang perbincangan mengenai isu berkenaan.

“Dr Mahathir memaklumkan beliau ada bukti penglibatan mereka termasuk KSU (ketua setiausaha kementerian) yang memakai baju BN ketika kempen.”

Bukti itu termasuk rakaman video dan foto penglibatan pegawai kanan kerajaan yang berkempen untuk BN, ketika mereka diharapkan bersikap tidak memihak.

Mereka tidak saja memakai seragam parti itu bersama pemimpin politik tetapi ada juga yang berucap dalam kempen pilihan raya itu, cuba meraih undi untuk Najib Razak dan BN.

Semasa kempen PRU14, pegawai kanan kerajaan yang memimpin kementerian, jabatan, agensi dan institusi turun berkempen untuk BN, termasuk naib canselor universiti dan hakim mahkamah syariah.

“Sebahagian daripada mereka dilantik memegang jawatan berkenaan bukan kerana kelayakan dan kebolehan tetapi kerana hubungan dengan pemimpin kerajaan pimpinan Najib sebelum ini,” kata sumber itu.

Dalam satu sidang media minggu lalu, Dr Mahathir mengingatkan penjawat awam sepatutnya neutral dan melaksanakan dasar dibawa oleh kerajaan yang memerintah.

Ditanya ketika apa bentuk hukuman yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak akan menghukum terus, tetapi kita perlu melihat kesetiaan mereka kepada kerajaan PH dan tidak boleh berpihak kepada propaganda BN.” – 4 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen