JOHARI Abdul Ghani menyertai pasukan calon presiden Ahmad Zahid Hamidi untuk merebut jawatan naib presiden pada pemilihan Umno, 30 Jun ini.
Zahid sebelum ini umum merebut jawatan tertinggi presiden dan akan bersama Mohamad Hassan yang menawarkan diri untuk jawatan timbalan presiden.
“Saya akan bersama Mohamad di pejabat Umno pada 11 pagi ini untuk menyerahkan borang.
“Dengan penuh rasa kesyukuran dan tawaduk’, saya menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden Umno dalam Pemilihan Pucuk Pimpinan Parti tahun ini,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu kepada The Malaysian Insight.
Bekas menteri kewangan Kedua itu berkata Umno perlu menjuarai isu rakyat dan tidak lagi berfikir rakyat sentiasa terhutang budi dengan jasa Umno dan BN sebelum ini.
“Kini tiba masanya kita sebagai ahli Umno untuk memperbaiki kelemahan kita dan mengambil langkah yang perlu untuk memperbetulkan apa jua kelemahan kita yang lalu.
“Umno perlu mendengar suara rintihan rakyat dan tidak lagi berterusan hidup di dalam kegemilangan masa dahulu. Inilah masanya bagi kita merubah cara pendekatan kita kepada Rakyat,” kata bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu.
Beliau berkata sebagai parti tunjang kepada Barisan Nasional, parti terbesar Melayu itu mempunyai cabaran besar untuk menarik anak muda.
“Maka ia perlulah juga menjadi sebuah parti tarikan kepada golongan muda serta bersedia untuk menjadi suara dan aspirasi mereka. Inilah antara cabaran dan isu yang perlu Umno hadapi di masa yang mendatang ini,” katanya.
Beliau yang pernah terlibat dalam dunia korporat selama lebih 25 tahun mahu terus dalam dunia politik untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya mempunyai pengalaman berurusan dan berdampingan dengan rakyat dari berbilang latar belakang, pemikiran dan pandangan politik yang berbeza-beza.
“Sehubungan dengan ini, saya bersedia untuk terus menyumbangkan masa, tenaga, buah fikiran dan pengalaman saya untuk sama-sama membantu memperkasakan Umno semula, Insya-Allah,” katanya. – 4 Jun, 2018.
Komen