Nhaveen remaja riang dengan impian ceburi bidang muzik, kata rakan


Looi Sue-Chern

T. Nhaveen semasa terlantar koma di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2017.

DIA seperti remaja berusia 18 tahun lain yang menyimpan impian menamatkan sekolah menengah sebelum beralih mengejar cita-cita lebih besar.

Seorang yang merendah diri, sangat menghormati orang lain dan tidak pernah bergaduh dengan sesiapa.

“Dia hanya seorang remaja biasa,” kata T. Nhaveen sepupu Ashwin Akshay.

“Nhaveen mempunyai minat yang serius dalam muzik pada beberapa tahun kebelakangan ini. Saya rasa dia belajar daripada kawan.

“Dia sukakan muzik klasik India dan R&B serta boleh mengubah muzik pada komputer ribanya,” katanya kepada The Malaysian Insight semasa ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Pulau Pinang.

Dia pernah berbicara mengenai meneruskan minatnya terhadap muzik selepas menamatkan pengajian.

Namun, ia akan terus kekal menjadi impian yang tidak mungkin dicapai apabila Nhaveen tidak mungkin dapat menamatkan pendidikan sekolah menengah, tidak mampu mengejar impian seperti remaja lain.

Enam hari selepas dipukul teruk dan diliwat sebelum dibiarkan menunggu maut, Nhaveen meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada jam 5.30 petang semalam.

Kali terakhir Ashwin bertemu sepupunya itu apabila Nhaveen pulang ke rumah untuk makan malam sebelum diserang oleh sekumpulan belia di Island Glades, berhampiran rumahnya di Taman Tun Sardon.

Nhaveen, katanya, masih bercakap tentang impiannya menjadi komposer muzik itu.

“Dia akan mengambil kursus muzik. Dia sepatutnya pergi ke Kuala Lumpur pada Isnin,” katanya.

Sebahagian remaja lelaki yang menyerangnya adalah bekas rakan sekolah. Dipercayai mereka juga pernah membulinya ketika berada di sekolah yang sama.

Berikutan kematian Nhaveen semalam, lima suspek disiasat kerana membunuh.

Ashwin berkata semua ahli keluarga terkejut dan bersedih dengan apa yang berlaku kepada sepupunya itu.

“Dia seperti saudara lelaki kepada saya. Nhaveen, ibu dan adiknya yang berusia 16 tahun adalah keluarga rapat kami.”

Ashwin berkata mereka sering menghabiskan masa bersama dengan kawan Nhaveen yang lain.

Rakan Nhaveen, Thana, 18, berkata mereka banyak melakukan aktiviti seperti remaja lain, seperti pergi menonton wayang.

Mereka akan bertemu apabila ada masa terluang atau cuti, katanya.

“Filem terakhir yang kami tonton adalah Pirates of the Caribbean. Nhaveen jatuhkan bertih jagung.

“Kami tidak buat perkara bukan-bukan,” katanya.

Thana menggambarkan Nhaveen sebagai yang menyeronokkan, bersikap terbuka dan hiperaktif.

“Dia hanya lelaki biasa,” katanya.

Thana bagaimanapun, mengakui hanya mengetahui sedikit sahaja tentang masalah buli dihadapi Nhaveen kerana berlainan sekolah.

Katanya, hanya rakan rapat T. Previin tahu tentang masalah buli itu.

Previin bersama Nhaveen apabila serangan itu berlaku tetapi berjaya melarikan diri untuk mendapatkan bantuan.

“Nhaveen kebanyakannya bercakap tentang buli di sekolahnya kepada Previin. Saya fikir ia satu kesilapan,” katanya. – 16 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen