KEMELUT kedudukan menteri besar Perlis kini diheret ke mahkamah apabila Barisan Nasional (BN) Perlis memfailkan satu tindakan mencabar kesahan Azlan Man kekal memegang jawatan itu kerana tidak dapat sokongan majoriti ahli dewan undangan negeri.
Menurut sumber, kes itu difailkan terhadap Azlan dan bukannya satu tindakan mencabar keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang melantik wakil rakyat Bintong itu sebagai menteri besar.
“BN Perlis cuma membantah kedudukan Azlan menjadi menteri besar tapi bukan (keputusan) Raja. Mereka masih taat setia pada Raja,” kata sumber yang dekat dengan BN Perlis kepada The Malaysian Insight.
Sumber itu menjelaskan kemelut yang masuk minggu ketiga ini timbul kerana Azlan tidak memaklumkan letak duduk keadaan sebenar kepada Raja Perlis bahawa beliau tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN.
Menurut sumber, kes itu difailkan di mahkamah pada Isnin lepas.
Peguam yang mewakili BN Perlis, Thalia Rohainda Abdul Latiff bagaimanapun enggan menjelaskan bentuk tindakan dan di mahkamah mana kes berkenaan difailkan.
“Tidak sesuai untuk saya bercakap mengenai ini sekarang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Kes seperti ini lazimnya tuntutan bagi suatu deklarasi yang dibuat melalui saman pemula dan difailkan di Mahkamah Tinggi.
Sumber BN Perlis bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, isu kesahan Azlan sebagai menteri besar dibawa ke mahkamah dengan merujuk pada Perkara 39(2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis yang berkuat kuasa sejak 1948.
Perkara 39(2)(a) menyatakan Raja hendaklah melantik seorang yang pada pertimbangannya mendapat kepercayaan majoriti Adun sebagai menteri besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri.
Sumber itu juga merujuk pada Perkara 39(6) yang menyatakan menteri besar hendaklah letak jawatan jika tidak lagi mendapat sokongan sebahagian besar Adun.
“Itu yang terjadi pada Azlan sekarang, yang tidak dapat sokongan majoriti daripada kami,” tambah sumber itu.
Pada PRU14, BN menang 10 daripada 15 kerusi negeri sementara PKR menang 3 kerusi dan PAS 2 kerusi.
Kemelut bermula apabila calon menteri besar yang dikemukakan oleh BN negeri tidak mendapat perkenan Raja Perlis.
Azlan mengangkat sumpah jawatan di Istana Arau pada 24 Mei tanpa kehadiran sembilan Adun BN yang sebaliknya berhimpun di Kuala Lumpur bersama Pengerusi BN negeri, Shahidan Kassim.
Jumaat lalu, Setiausaha BN Perlis Zahidi Zainul Abidin menyembah maaf kepada Raja Perlis atas tindakan sembilan Adun BN memulau istiadat angkat sumpah menteri besar.
Beliau bagaimanapun menegaskan permohonan maaf itu tidak mengubah pendirian BN Perlis menolak Azlan sebagai menteri besar.
BN Perlis masih menunggu perkenan Raja Perlis untuk mengadap bagi menjelaskan perkara sebenar, kata Zahidi.
Rabu lalu, BN Perlis menghantar 11 nama calon pengganti Azlan kepada Raja Perlis, termasuk dua ahli Parlimen iaitu Zahidi dan Shahidan.
Mereka berpendapat Raja Perlis ada kuasa yang luas di bawah perlembagaan negeri untuk memilih orang yang dirasakannya layak jadi menteri besar, dan tidak semestinya terdiri dalam kalangan Adun. – 3 Jun, 2018.
Komen