PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Perlis, Shahidan Kassim muncul menjadi seorang lagi bakal calon bertanding merebut jawatan naib presiden parti itu pada pemilihan bulan depan.
Katanya, beliau sedang menimbang untuk melebarkan langkah politiknya, menawarkan kepimpinan sebagai lapis ketiga Umno yang akan mencorakkan perubahan parti itu selepas teruk terpukul dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Saya sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan naib presiden kerana ingin memulakan gerakan kebangkitan semula Umno bermula di Perlis yang menang dua pertiga majoriti,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight.
Beliau bagaimanapun setakat ini sudah memutuskan akan mempertahankan jawatannya sekarang sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT).
Shahidan menyertai tiga lagi pemimpin yang sudah menawarkan diri untuk jadi naib presiden Umno: Ahli MT Abdul Johari Ghani yang juga bekas menteri kewangan kedua; bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.
Hari ini, seorang lagi Ahli MT, Tajuddin Abdul Rahman dijangka mengemukakan pencalonannya, dipercayai juga untuk kerusi naib presiden.
Sejak PRU14, Shahidan jadi perhatian apabila berkrisis dengan Istana Arau selepas menolak pemilihan Azlan Man sebagai menteri besar yang diangkat oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Ketika semua wakil rakyat lain yang terlibat menyembah maaf kepada Raja Perlis, Shahidan sebaliknya bertegas tidak mahu minta maaf kerana merasakan dirinya tidak bersalah.
Episod Shahidan dan Istana Arau itu mencetuskan keresahan dalam kalangan ahli dan pemimpin Umno yang khuatir sikap keras seperti itu akan menjarakkan lagi parti itu dengan rakyat.
Antaranya yang lantang ialah Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati yang menyifatkan episod di Perlis itu “contoh mengapa anak muda meluat dengan Umno”.
Pemilihan Umno kali ini dijangka hangat kerana barisan kepimpinan yang terpilih nanti menggalas tanggungjawab memulihkan parti dan Barisan Nasional yang ditunjanginya, selepas rakyat menolak mereka dalam PRU14.
Setakat ini, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sudah menyerahkan kertas pencalonan bertanding jawatan nombor satu sebagai presiden Umno. Ada juga ura-ura mahu memajukan Tengku Razaleigh Hamzah dan Mustapa Mohamed bertanding jawatan tertinggi itu.
Pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi akan berlangsung pada 30 Jun ini, seminggu selepas pemilihan peringkat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri. – 3 Jun, 2018.
Komen