Bandar Malaysia terkubur selepas projek HSR batal


The Malaysian Insight

Berita projek Bandar Malaysia sudah mati akan menjadi berita gembira buat pengkritik yang mempersoalkan kesamaran rundingannya sehingga mencetuskan syak wasangka, ia satu lagi skim penyelamatan 1MDB. - Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2018.

BANDAR Malaysia, pelan kontroversi Najib Razak menjual sebidang tanah terbaik di Kuala Lumpur kepada pemaju asing untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), boleh dikatakan sudah terkubur.

Sebabnya: Pembatalan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) tidak lagi menjadikan pembangunan di tapak seluas 197 hektar itu menarik pada mata pemaju dari China, Jepun dan Asia Barat yang selama ini sedia membayar berbilion ringgit untuk menjadi pemaju utama projek berkenaan.

Berita projek Bandar Malaysia sudah mati akan menjadi berita gembira buat banyak pengkritik yang mempersoalkan kesamaran rundingan projek tersebut sehingga mencetuskan syak wasangka, ia satu lagi skim penyelamatan 1MDB.

Antara faktor utama China Railway Engineering Corporation dan kemudian Dalian Wanda setuju melabur antara AS$5 bilion dan AS$10 bilion – untuk membangunkan bekas pangkalan tentera udara Sungai Besi itu menjadi bandar raya bertaraf dunia dalam sebuah bandar raya – ialah ia juga akan jadi hab pengangkutan utama, dengan terminal kereta berkelajuan tinggi.

Pemaju asing yang berminat dengan projek gergasi itu merasakan jaringan tanpa batas ke Singapura akan menjadikan produk pelancongan kelas dunia dan hab perniagaan antarabangsa itu lebih berdaya maju.

Pemaju hartanah ini percaya kesalinghubungan itu memberikan mereka peluang untuk menjual bidang tanah di Bandar Malaysia itu pada harga tinggi.

Bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan projek Bandar Malaysia pada 2011. Tanah milik Kementerian Pertahanan itu dijual kepada 1MDB Re, anak syarikat hartanah milik 1MDB.

Pelan pembangunan semula itu menyebabkan 1MDB memindahkan pangkalan udara Sungai Besi ke Sendayan yang bernilai RM2.7 bilion.

Tetapi kemudian syarikat pelaburan kerajaan itu gagal membayar balik pinjamannya dan seluruh operasinya mula jadi perhatian. Tidak lama selepas itu, jelas syarikat itu menumpuk hutang akibat salah laku dan penyelewengan dana.

Syarikat itu terpaksa menjual asetnya.

Pada 31 Disember 2015, 1MDB menandatangani perjanjian menjual 60% pegangan saham dalam Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion dengan konsortium bersama Malaysia-China, Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation.

Urus niaga itu bagaimanapun terbatal apabila tahun lalu apabila kerajaan mengumumkan konsortium berkenaan gagal membuat bayaran.

Susulan itu, Putrajaya mencari pelabur baru dari China. Dalian Wanda membayangkan minatnya untuk melabur sehingga AS$10 bilion untuk jadi pemaju utama namun tidak lama selepas itu ia pula berdepan masalah kewangan.

Pentadbiran Najib kemudian memilih jalan tender terbuka.

The Malaysian Insight difahamkan sebuah syarikat tersenarai dari China yang beribu pejabat di Hong Kong sudah setuju tetapi belum menandatangani perjanjian untuk membangunkan Bandar Malaysia.

Rencana asalnya ialah perjanjian pembangunan utama itu hendak dimeterai sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi ada beberapa hal yang perlu diperincikan lagi.

Pegawai Kementerian Kewangan diterajui bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah yakin tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum perjanjian untuk membangunkan Bandar Malaysia itu boleh diselesaikan.

Tetapi sekarang tidak lagi. – 3 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen