RAFIZI Ramli mungkin sudah menang dalam kes rayuannya yang membolehkan beliau terlepas daripada hukuman penjara tetapi ahli politik itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk kembali ke Parlimen serta merta kerana terdapat dua kes jenayah lain sedang dihadapinya.
“Saya tidak mahu memikirkan hal kembali ke Parlimen sekarang,” kata naib presiden PKR yang berusia 40 tahun itu kepada The Malaysian Insight selepas berjaya dalam rayuan terhadap hukuman penjara 18 bulan kerana mendedahkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB ) kepada media walaupun ia menjadi rahsia rasmi.
Mahkamah Rayuan semalam mengetepikan hukuman penjara Rafizi dan digantikan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu disabitkan pada 14 November 2016 oleh Mahkamah Sesyen kerana mendedahkan 98 halaman Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB pada 28 Mac 2016 dalam sidang akhbar.
Beliau juga didapati bersalah kerana memiliki salinan laporan itu tanpa kebenaran, walaupun sabitan itu dibatalkan pada Ogos lalu.
Laporan itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi pada 2016 tetapi ditarik balik selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan persekutuan berikutan Pilihan Raya Umum ke-14.
Walaupun terlepas hukuman penjara, Rafizi masih belum selamat kerana mempunyai dua kes jenayah lain.
Rafizi disabitkan dengan pendedahan National Feedlot Corporation (NFC), National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC, Mohamed Salleh Ismail pada 2012.
Pada Februari tahun ini, beliau dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana melanggar Akta Perbankan dan Kewangan yang mendedahkan maklumat mengenai akaun bank. Rafizi kini merayu terhadap hukuman itu.
Pada hari yang sama, Mahkamah Majistret juga memerintahkan Rafizi dibicarakan atas tuduhan jenayah fitnah kerana didakwa memfitnah Tabung Haji di Facebook pada 2015.
Rafizi didakwa mengatakan lembaga jemaah haji itu mengalami defisit selama dua tahun berturut-turut menjadikan ia tidak dapat memulangkan simpanan jika mereka mengeluarkannya sekaligus. Kes itu masih menunggu perbicaraan di mahkamah.
“Banyak kes yang perlu saya uruskan beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Rafizi, pengasas kumpulan Invoke yang meramalkan hampir tepat keputusan pilihan raya pada 9 Mei yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional tumbang.
“Jadi, buat masa ini, saya hanya ingin berehat selama dua tahun sebelum memutuskan sama ada saya perlu membuat kemunculan kembali ke Parlimen.”
Memandangkan banyak kes yang masih belum selesai, Rafizi memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pandan, yang dimenangi oleh Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Berhubung peranannya dalam mendedahkan banyak skandal kewangan, Rafizi berdepan 14 kes mahkamah yang berbeza, mulai daripada fitnah jenayah hingga kepada fitnah sivil.
Beliau juga menjadi “duri” di kalangan eksekutif tertinggi seperti Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Abdul Wahid Omar.
Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Berhad, Shazalli Ramly adalah antara pegawai tertinggi GLC di bawah pengawasan Majlis Penasihat Kerajaan yang diwujudkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi menyemak operasi mereka. – 2 Mei, 2018.
Komen