Perihal 'ji es ti'


Pyanhabib Rahman

BEBERAPA minit sebelum 12 dinihari Jumaat, 1 Jun, satu mesej memasuki henpon gua: “Abam, tengah malam ini ji es ti akan meninggalkan kita!”

Otak gua termerayau kepada tiga tahun lalu di mana pada setiap kesempatan, berulangkali gua seranah akan “ji es ti”!

“Ji es ti” itu menatang apa?

GST itu bala. Bahasa Melayunya cukai barangan dan perkhidmatan, cukai tidak halal yang diambil secara paksa daripada rakyat bawahan. Siapa rakyat bawahan? Rakyat bawahan itu gua dan kawan-kawan gua yang bawah-bawah termasuklah makcik pakcik di ceruk hulu kampung.

Rejim Najib Razak mengutip cukai atas nama GST yang dikenakan ke atas kami, makhluk manusia pelbagai kaum di Malaysia. Mereka mengambil kepunyaan kami tanpa rela kami. Kami menjerit, kami melawan, kami mengangkat sepanduk berarak menentang GST yang jahanam itu.

Tetapi suara kami tidak dipeduli malah kawan-kawan kami diangkut ke rumah pasung dan dilokap. Pembangkang, kata mereka. Dihasut pembangkang, tuduh mereka.

Najib mencipta rejim. Rejim Najib mengenakan kami GST iaitu cukai barangan dan perkhidmatan yang bererti mereka mencukai harga barangan dan mereka mahu kami terus berkhidmat!

Rejim Najib sombong-sombong. GST diambil tanpa izin dan rela kami. GST menyumbang kepada ekonomi negara, kata mereka. GST menampung kos pembangunan negara, kata mereka. Rakyat bawahan terpinga-pinga dihujahkan rejim Najib atas nama negara, akur dan bertawakal saja.

Pada tahun pertama GST, rejim Najib dengan bangga berkata GST yang berkuat kuasa pada 1 April 2015 berjaya mengutip hasil berjumlah sekitar RM27 bilion dalam tempoh sembilan bulan.

Manakala pada  2016, kutipan meningkat lebih RM32 bilion. Gamaknya dalam tempoh tiga tahun GST, lebih RM100 billion dikutip.

Cukai 6% yang diambil tidak sebesar mana, bukan? Ia hanya tahi gigi bagi menteri-menteri rejim Najib. Misalnya, kamu membeli beberapa jenis barang dari kedai yang sama atau berlainan yang tanpa disedari barangan itu dalam senarai GST, berapa jumlah GST kamu kena bayar jika barang yang kamu beli itu 4-5 jenis berGST? 6% darab 4-5 barang, banyaklah juga. Orang-orang rejim Najib tak kisah pun.

Paling jahanam, kamu makan nasi mamak dalam kuantiti nasi separuh, telur asin separuh campur sedikit sayur bayam lembik hancur dan kuah banjir, sebaik membayar, kamu barangkali hanya mampu mengomel dengan mata membulat bila melihat jumlah bil, di celah-celahnya tersorok cukai haram GST.

Kamu tak tahu? Kamu patut sudah lama tahu.

Gua syak, segelas teh tarik mamak atau segelas air kosong, di dalamnya tersembunyi GST. Benda sebegini, mamak yang untung beratus ribu ringgit sebulan itulah yang sepatutnya bayar cukai kepada gomen dan bukan pelanggan.

Sekarang, pelanggan bayar GST kepada mamak dan mamak bayar GST kepada gomen iaitu daripada GST yang dibayar oleh pelanggan.

Kamu faham? Dalam kata lainnya begini, rejim Najib ambil GST daripada pelanggan mamak dan bukan daripada mamak.

Mamak tersenyum lebar saja sambil layar besar restorannya terus terpasang menghasut anak muda melepak layan bola. Tak gitu? Gua tak reti matematik. Jangan tanya lebih. Tetapi gua rasa betul.

Rejim Najib tidak peduli suara rakyat. Kalau mereka peduli tentu tidak akan ada yang buat kelakar suruh rakyat tanam sayur sendiri. Untuk rakyat kampung, apa yang disuruh itu betul tetapi bagaimana rakyat yang di bandar yang 24 jam tanah pun tidak pijak!

Enam peratus GST daripada nilai seringgit, bagi rakyat bawahan, adalah satu bala apabila ia berekor membabitkan lain-lain barangan hatta yang tidak berGST.

Tiga tahun lalu segenggam kangkung boleh diperoleh dengan nilai RM1.50 di pasar raya. Selepas wujud GST, harga kangkung ada masanya meningkat kepada RM3.50 pada jumlah yang sama meski kangkung tidak termasuk senarai GST. Itu kangkung. Bukan profesor!

Bagaimana ikan kembung makanan rakyat bawahan yang harganya di pasar raya kelas tiga pun, mencanak kepada RM18 sekilo? Dan, kenapa rejim Najib kenakan GST kepada setin sardin yang sejak zaman Semenanjung dipanggil Tanah Melayu menjadi lauk rakyat bawahan? Dan bagaimana boleh rejim Najib tidak kenakan GST terhadap lobster?

Lobster adalah makanan orang kaya sombong yang diratah begitu saja dan bukan makanan rakyat bawahan.

Tanpa GST pun, seekor lobster tidak termampu menjadi lauk penoreh getah di hulu kampung hatta sekeluarga makcik pakcik Felda pun.

Semalam 1 Jun 2018, walau hanya sifar GST, gua berasa satu kepuasan kerana sejak tiga tahun lalu, gua sentiasa berharap GST dibatalkan, dihapus mampus.

Sejak tiga tahun itu juga, gua tidak pernah letih untuk sesekali seranahkan GST dan rejim Najib hingga pada satu peringkat gua pun berasa gerun bila Kastam beri amaran kepada mereka yang mengkritik GST.

Paling terbaru gua seranah GST ialah pada status Facebook gua pada 26 Mei 2018, bertajuk: “Kamu adalah bekas dan kamu berbunyi [merujuk kepada Zahid Hamidi]”.

“Sekarang kamu adalah bekas dan kamu berbunyi. Kenapa tidak kamu berbunyi kuat-kuat semasa kamu berkuasa? Ya, kenapa kamu tidak berbunyi kuat-kuat semasa kamu berkuasa dan ambil tahu akan kami rakyat bawahan bahawa kami juga punya keluarga dan mulut untuk disuap? Adakah kamu peduli jerit bantah kami ketika rejim kamu wujudkan GST?

Adakah kamu dan menteri-menteri kamu yang angkuh sombong ambil peduli dan bertindak berterusan terhadap kenaikan harga barangan yang mencanak dan mencekik?

Kamu tahu berapa harga sekilo ikan kembung?” – 2 Mei, 2018.

* Pyanhabib Rahman aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian. Beliau juga terlibat dalam kerja-kerja teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buah buku.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen