Pengendali lebuh raya bermasalah tidak akan diselamatkan, kata menteri


Noel Achariam

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusoff mengatakan yang kajian akan dilakukan bagi mencari punca masalah yang dihadapi dua pengendali lebuh raya di Johor Baru. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Jun, 2017.

KERAJAAN tidak akan menyelamatkan dua syarikat konsensi lebuh raya yang sedang berdepan situasi muflis di Johor, kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusoff hari ini.

Tetapi kerajaan sedang meneliti masalah yang dihadapi Lebuh Raya Johor Baru Eastern Dispersal Link (EDL) dan Lebuh Raya Senai Desaru, katanya.

“Kita perlu melihat masalah yang mereka hadapai. Ada lebuh raya yang terjejas kerana keputusan kerajaan untuk memperkenalkan bayaran tol dan permit masuk kenderaan. Tindak balas Singapura dan ini menjejaskan EDL kerana ia menghubungkan negara itu.

“Jumlah kenderaan menggunakan lebuh raya jatuh mendadak,” katanya selepas menghadiri upacara pecah tanah untuk projek tambah baik laluan motorsikal di Jalan 222, Petaling Jaya hari ini.

Fadillah mengulas laporan yang mengatakan dua syarikat konsensi itu mahu meminta bantuan kerajaan untuk mengambil alih pengurusan syarikat mereka.

Katanya Lebuh Raya Senai Desaru juga berdepan masalah kekurangan kenderaan menggunakannya.

“Kami perlu mengkaji dan melakukan usaha yang wajar menilai masalah mereka dan barulah boleh memutuskan samada kami mahu ambil alih lebuh raya itu dan mendapatkan syarikat lain untuk menguruskannya untuk mengurangkan kerugian.”

“Sebelum ini, kerajaan membantu konsesi Shapadu apabila lebuh rayanya di Klang bermasalah.

“Kerajaan kemudiannya membenarkan syarikat lain menguruskan lebuh raya itu.

“Pendapatan untuk lebuh raya berdasarkan anggaran jumlah kenderaan. Jika kutipan tol tidak mencukupi, mereka tidak akan mampu menguruskan lebuh raya itu.”

Katanya kedua-dua syarikat masih lagi menguruskan lebuh raya terbabit walaupun menanggung kerugian.

Dilaporkan yang terdapat empat jenis perjanjian konsensi.

Fadillah berkata perjanjian generasi pertama tidak memihak kepada kerajaan memandangkan mereka masih baru kepada kaedah dan terma ketika dokumen itu ditandatangani dan dibentuk.

Perjanjian generasi pertama memberi kelebihan kepada konsensi lebuh raya.

Fadillah berkata perjanjian selepas itu sudah ditambah baik dan dimasukkan peruntukan untuk memansuhkan peningkatan automatik dalam kadar tol tahunan. – 15 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen