DAP lapor PSMB kepada SPRM


Looi Sue-Chern

M. Satees, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan, dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai P. David Marshel, mendakwa levi yang dikutip daripada majikan untuk Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) berkenaan telah disalahguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2018.

WAKIL rakyat DAP dan ahli majlis Pulau Pinang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, bagi menggesa agensi terbabit menyiasat dakwaan penyalahgunaan dana dalam Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

M. Satees, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan, dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai P. David Marshel, mendakwa levi yang dikutip daripada majikan untuk organisasi berkenaan telah disalahguna.

“Kami difahamkan bahawa dakwaan penyalahgunaan ini berlaku pada 2016. Kami telah mengumpulkan maklumat daripada beberapa pembocor maklumat yang dipercayai, termasuk orang dalam PSMB.

“Mereka mendakwa bahawa seorang eksekutif kanan menggunakan dana PSMB untuk melabur dalam hartanah bernilai RM155 juta dan memperolehi seunit kondominium (hasil pelaburan itu),” kata David kepada pemberita di luar perkarangan pejabat SPRM di Butterworth.

“Hari ini kami menyerahkan maklumat kepada SPRM. Kami harap SPRM akan menyiasat perkara ini secepat mungkin kerana kami percaya bahawa berjuta ringgit telah disalahgunakan.”

PSMB adalah agensi yang ditubuhkan pada 1993, dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia. Ia mengutip levi daripada majikan untuk latihan kemahiran.

Tambah beliau, laporan SPRM itu juga akan diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran bagi tindakan selanjutnya.

David turut menggesa agar kontrak baru dan yang telah dianugerahkan oleh PSMB kepada pemaju dihentikan sementara menunggu siasat.

Kedua-dua David dan Satees bagaimanapun tidak menamakan individu daripada PSMB tersebut pada sidang media itu. Menurut mereka nama tersebut ada dalam laporan SPRM itu. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen