BN Perlis mohon ampun pada Raja Perlis, tapi tetap tolak Azlan Man


Diyana Ibrahim

Barisan Nasional Perlis ingin berharap pertemuan dengan Raja Perlis akan menyelesaikan kemelut mengenai pelantikan menteri besar negeri itu. – Gambar fail EPA, 1 Jun, 2018.

BARISAN Nasional (BN) Perlis tidak berganjak dengan pendirian menolak Azlan Man sebagai menteri besar walaupun wakil rakyat Bintong itu merupakan pilihan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamallulail.

Setiausaha BN Perlis Zahidi Zainul Abidin berharap perkara itu dapat dinyatakan ketika menghadap Raja Perlis untuk memohon ampun, ekoran tindakan mereka memulaukan majlis mengangkat sumpah jawatan Azlan di Istana Kangar, minggu lalu.

Zahidi berkata, wakil rakyat BN negeri itu perlu menerangkan hasrat tersebut kepada Raja Perlis untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlarutan.

“Kita tetap taat setia dengan Raja tapi tak mahu Azlan jadi menteri besar. Sebab itu kita akan jumpa dengan Tuanku untuk menjujung kasih terangkan pada Tuanku sebab apa kita tak mahu Azlan jadi menteri besar,” katanya dalam sidang media yang disiarkan juga secara langsung di laman Facebook.

Katanya, keputusan untuk menolak Azlan sebagai menteri besar adalah suara majoriti daripada BN yang memenangi pilihan raya di negeri itu.

“Kita semua (yang) ada di sini percaya pada prinsip demokrasi kita lihat semua negeri ikut majority rule, siapa majoriti dia akan memerintah,” katanya.

Beliau memberi contoh keadaan yang berlaki di Sabah apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal dibenar mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua menteri baharu apabila berjaya meraih majoriti kerusi.

“Macam di Sabah apabila Shafie dapat majoriti, angkat sumpah Musa Aman dibatalkan. Begitu juga kita harap majoriti itu dapat diamalkan di Perlis,” katanya.

Beliau yakin segala kemelut dan salah faham akan dapat diselesaikan dengan cepat apabila berjaya menghadap Raja Perlis.

“Kita sekarang sudah hantar surat pada Raja, tengah tunggu. Ada orang tengah yang akan atur pertemuan.

“Pertemuan kita adalah untuk bincang dari hati ke hati, sebab Raja Perlis mungkin tak tahu apa masalah.

“Dan kenapa kita tolak Azlan ada alasan tapi kita tak boleh cakap pada media, tapi kami yakin Tuanku sebagai Raja berjiwa rakyat, kasihkan rakyat akan faham.”

Mengulas mengenai senarai 11 nama yang dikemukakan kepada Raja Perlis untuk menggantikan Azlan, Zahidi berkata ia bukanlah senarai baharu.

“Ini senarai awal selepas BN menang di Perlis, kita letak 11 nama. Tak kisahlah ahli Parlimen atau Adun, sebab Raja mempunyai kuasa mutlak.

“Tuanku boleh pilih sesiapa saja yang Tuanku suka,” katanya.

Sebelas nama tersebut turut menyenaraikan nama bekas menteri besar Shahidan Kassim, yang tidak diperkenan oleh Raja Perlis kerana tidak bertanding di kerusi DUN dalam pilihan raya 9 Mei.

Katanya lagi, BN Perlis meneruskan dengan usaha tersebut memandangkan tidak menerima arahan jelas dari pucuk pimpinan parti.

“Kita ada memaklumkan pucuk pimpinan parti, dulu pun ada perbincangan. Tapi sekarang ini sebab (BN) pusat pun kalah dan hala tuju tidak jelas jadi kita teruskan,” katanya. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen