HIKMAH keputusan mahkamah hari ini adalah institusi kehakiman mengiktiraf tindakan pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat kritikal demi negara, kata Rafizi Ramli.
“Keputusan ini meringankan apa yang perlu dilalui pemberi maklumat,” kata bekas ahli Parlimen Pandan itu di Istana Keadilan, Putrajaya hari ini.
“Lebih penting, keputusan hari ini menunjukkan yang pihak berkuasa, penguatkuasa dan badan kehakiman kita ada budi bicara dalam membuat keputusan,” katanya.
Katanya, pemberi maklumat terpaksa berdepan kecaman awam dan tekanan hebat.
“Tetapi jika ada peluang kedua, saya tetap akan lakukan.”
Rafizi percaya sudah jadi tugasnya untuk mendedahkan kes seperti skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ada kalanya, kita tak boleh agak semua risiko. Keputusan saya (untuk dedahkan skandal) betul. Jika sekali lagi berdepan isu moral sebegini, saya tetap akan bertindak,” kata Rafizi.
Sejak mendedahkan skandal NFC pada 2011 dan Laporan Audit Negara tentang 1MDB, Rafizi berdepan banyak pertuduhan, dakwaan dan kes fitnah. Sehingga pada satu ketika, jumlah kes terhadapnya mencecah 14 kes.
Kerana tindakannya, Rafizi disabitkan bersalah kerana melanggar undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi kes 1MDB dan Akta Institusi Kewangan dan Perbankan untuk kes NFC.
Dalam kes OSA ini, dia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan. Dia juga dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan dalam kes NFC.
Hari ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya berkaitan hukuman pelanggaran OSA daripada penjara kepada hukuman bukan penjara.
“Jika masyarakat percaya tentang benar dan salah serta mempertimbangkan kesan kepada masyarakat apabila ada orang membongkar sesuatu perkara, negara kita akan berada di landasan yang tepat.
“Walaupun tak ke penjara kerana semua ini, semuanya masih lagi berbaloi,” kata ahli politik berusia 40 tahun itu yang memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya lepas. – 1 Jun, 2018.
Komen