Prosiding hina mahkamah Guan Eng digugurkan


Chan Kok Leong

Menteri Kewangan Lim Guan Eng didakwa menghina mahkamah susulan kenyataan berkaitan kes banglownya, hari ini Mahkamah Rayuan mengugurkan dakwaan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2018.

PROSIDING menghina mahkamah terhadap Menteri Kewangan baru dilantik Lim Guan Eng di Mahkamah Rayuan digugurkan hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Jauhari memberitahu panel tiga hakim yang mereka sudah memfailkan notis pembatalan semalam.

“Kami minta tiada arahan kos,” kata Maisarah.

Perkara itu disahkan oleh peguam Lim, Mervyn Lim.

Susulan itu, Pengerusi Panel Hakim Abdul Rahman Sebli mengatakan rayuan itu dibatalkan tanpa kos. Dua lagi hakim ialah Zaleha Yusof dan Yaacob Md Sam.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali memohon hukuman penjara kepada Lim atas kesalahan menghina mahkamah dan menjejaskan integriti badan kehakiman susulan kenyataan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dalam kes banglownya.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Disember lalu atas alasan ada percanggahan tentang transkrip sidang media Lim.

Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Mat Said berkata ada perbezaan antara dua muka surat transkrip sidang media yang diadakan pada 2017 dan yang diberikan oleh Apandi.

Versi Apandi berasal dari The Star Online, berbanding transkrip pihak pembelaan Lim sebanyak 11 muka surat.

“Saya bersetuju dengan defendan yang AG gagal membuat pendedahan penuh bagi permohonan pemula prosiding menghina (di hadapan hakim lain).

“Dan kerana itu, mahkamah membenarkan permohonan defendan untuk mengetepikan permohonan menghina ini,” kata Kamaludin dalam penghakimannya. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen