Memeluk demokrasi melalui penyiaran Piala Dunia


Daniyal Kadir

SELURUH rakyat Malaysia kini mula mengambil berat tentang apa yang diputuskan oleh Jemaah Menteri. Sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri merupakan antara acara yang ditunggu-tunggu ramai. Amat jarang untuk kita melihat keadaan ini berlaku sebelum ini.

Namun ini merupakan sebuah reaksi yang normal memandangkan kerajaan yang ada sedang dalam proses penyesuaian dan cuba memberikan gambaran bahawa mereka jelas berbeza berbanding kerajaan terdahulu.

Perbezaan ini jelas dari pelbagai sudut dan ia sebenarnya amat bersesuaian dengan apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan ini semasa kempen pilihan raya dan semasa mereka berada di kem pembangkang.

Kerajaan pada hari ini cuba menjadi telus, cuba menjadi terbuka dan cuba memastikan rakyat memahami bagaimana persekitarannya apabila perubahan berlaku kepada pemerintahan dan pentadbiran.

Keperluan untuk dilihat berbeza ini sudah tentu cuba ditampilkan dalam sudut yang positif dan setiap langkah serta tindakan kerajaan juga wajar untuk dijustifikasikan sebagai lebih baik berbanding terdahulu.

Salah satu perkara yang menarik perhatian rakyat minggu ini adalah pengumuman kerajaan bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan perlawanan Piala Dunia 2018 secara langsung dan tertunda.

Walaupun bukanlah sesuatu yang baru atau pelik untuk RTM menyiarkan Piala Dunia, namun ia dilihat menimbulkan isu terhadap kerajaan baru.

Malah isu yang ditimbulkan ini pula datang dari pelbagai arah. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Berlaku perdebatan dan perbahasan di ruangan awam, membincangkan langkah kerajaan untuk menyiarkan Piala Dunia di RTM.

Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Rakyat begitu bersungguh-sungguh membincangkan langkah penyiaran Piala Dunia di stesen televisyen milik kerajaan.

Ini bukan kali pertama RTM menyiarkan Piala Dunia, malah RTM telah mula menyiarkan acara empat tahun sekali ini sejak dari tahun 1974 lagi. Bermula dengan menyiarkan perlawanan tertentu dalam jumlah yang sedikit, sehingga kemampuan untuk menyiarkan sehingga keseluruhan perlawanan pada tahun 1998 hasil kerjasama dengan TV3.

Bagi Piala Dunia 2014, RTM menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran langsung dan 11 tertunda. Jumlah ini sama pada tahun 2010. Menonton Piala Dunia merupakan sesuatu perkara ajaib untuk rakyat Malaysia. Pada tahun 1982 misalnya, rakyat Malaysia pernah mengumpul dana sehingga RM300,000 untuk membantu RTM menyiarkan Piala Dunia.

Inilah kesan dan keajaiban kejohanan bola sepak ini, walaupun Malaysia masih gagal ke Piala Dunia, namun rakyatnya cukup bersungguh-sungguh mengikutinya.

Jadi bukanlah sesuatu yang pelik apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengumumkan bahawa RTM akan menyiarkan 41 perlawanan Piala Dunia dengan 27 daripadanya siaran langsung dan 14 lagi siaran tertunda.

Namun yang menjadi pertikaian segelintir pihak ialah apabila kerajaan mengumumkan kos untuk membawakan siaran ini nanti mencecah RM30 juta.

Ia bukanlah satu angka yang mengejutkan, malah ia merupakan angka biasa yang perlu dibayar untuk mendapatkan hak penyiaran bagi jumlah perlawanan seperti itu. Pada tahun 2014 juga RTM membayar kos yang dikatakan mencecah RM30 juta untuk membawakan 35 perlawanan Piala Dunia berkenaan.

Namun begitu, ia menjadi sesuatu yang mengejutkan bagi sesetengah pihak kerana kerajaan pada hari ini berulang kali menyebut tentang negara sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius, masalah hutang yang memeningkan kepala, masalah ekonomi yang merumitkan.

Malah kerajaan juga bertindak membatalkan beberapa projek mega terdahulu di samping beberapa langkah penjimatan lain bagi memastikan kewangan dan ekonomi negara berada pada landasan yang betul dan secara tiba-tiba kerajaan mengumumkan pula kesediaan melabur RM30 juta untuk siaran Piala Dunia.

Ini yang menjadi titik terpenting kepada perselisihan pandangan yang berlaku. Ia kesan daripada sikap keterbukaan yang sebenarnya wajar dilihat dari sudut yang positif. Keterbukaan itu lebih baik daripada mendiamkan diri dan rakyat tidak tahu apa-apa yang berlaku. Sikap keterbukaan ini membolehkan rakyat berbincang tentang dasar dan perancangan Kerajaan secara lebih jelas dan bertanggungjawab.

Kerajaan terdahulu sering menggambarkan kepada rakyat bahawa keadaan ekonomi dan kewangan negara berada di landasan kukuh dan tidak mempunyai apa-apa masalah serius. Untuk itu, apabila kerajaan terdahulu mengumumkan penyiaran Piala Dunia di RTM, tiada rakyat yang membantah atau gusar, kerana mereka telah ditanam dengan sangkaan bahawa segala-galanya okay! Mereka melihat siaran Piala Dunia sebagai sebahagian daripada hadiah kerajaan untuk rakyat.

Kerajaan pada hari ini berada di persimpangan sebenarnya dan apabila bersikap telus, ada perkara yang perlu dijelaskan dengan teliti dan rakyat kini sedang belajar kaedah terbaik untuk memeluk erat demokrasi.

Ia bukan lagi seperti sebelum ini. Setiap langkah kerajaan kini diperhati dan jika berlaku apa-apa kesilapan, sudah tentu ia akan ditimbulkan sebagai satu isu yang hangat.

Dalam kerangka perniagaan, sudah tentu siaran Piala Dunia ini tidak akan ditanggung secara total oleh kerajaan. Pasti akan ada syarikat yang berminat untuk menjadi penaja dan menanggung kos ini secara bersama-sama dengan RTM.

Malah dalam sesetengah keadaan RTM mungkin akan mendapat untung daripada iklan yang disiarkan semasa perlawanan secara langsung ini. Namun begitu, pengiraan tentang jangkaan keuntungan RTM ini tidak dapat dipastikan memandangkan berdasarkan kepada pengalaman lalu, ia tidaklah menyumbang terlalu besar kepada pendapatan RTM.

Untuk itu, alang-alang sudah mengorak langkah untuk menjadi kerajaan yang telus, maka RTM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh memberikan jangkaan pendapatan dan kos untuk siaran Piala Dunia ini supaya rakyat berasa lega dan dapat memahami dengan jelas apa yang dirancangkan oleh kerajaan.

Melalui pemahaman yang jelas dan ketelusan yang dijamin oleh kerajaan ini, ia bakal mendatangkan keyakinan rakyat terhadap kaedah kerajaan menguruskan negara ini. Sudah tentu maklumat umum seperti ini bukanlah sesuatu yang rahsia untuk dikongsikan kerana ia dilihat penting dalam era Malaysia baru ini. – 1 Jun, 2018.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen