Harga makanan lebih murah bila restoran tak kenakan GST


Looi Sue-Chern Ravin Palanisamy

WALAUPUN sebelum kadar 0% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan hari ini, pengendali restoran nasi kandar sudah menukar semula harga makanan mereka.

Di Pulau Pinang, Nasi Kandar Nasmir sudah menukar semula harga semua makanan pada menunya sehari sebelum 1 Jun, kata pemiliknya Kadhar Shah Abdul Razak. 

“Harga kami sudah termasuk GST. Jadi kami perlu buat semula menu dan tolak 6% daripada harga setiap barangan. 

“Kami mula berhenti kenakan harga lama sebaik sahaja tengah malam 31 Mei,” kata Kadhar kepada The Malaysian Insight. 

Kadhar berkata, selain meletakkan papan tanda untuk mengumumkan pengurangan harga, beliau turut menyediakan senarai harga baharu dan lama untuk pemeriksaan pihak berkuasa berkenaan dan perbandingan sekiranya mereka memeriksa rangkaian restorannya. 

“Kita hanya ikut dasar kerajaan. Kerajaan memutuskan untuk menarik balik GST untuk kurangkan beban rakyat. 

“Jadi sebagai peniaga tempatan, kami mengikut dan menyokongnya,” katanya.

Nasi Kandar Beratur yang terkenal di George Town turut mengurangkan harga, kata pengurusnya Ajmeer Ali Liyaqat. 

“Beberapa makanan pada menu kami ada GST seperti ayam, telur ikan, daging lembu dan kambing contohnya. Ia akan murah beberapa sen. 

“Ada beberapa makanan kita tidak kenakan GST seperti nasi putih. Kami sentiasa kekalkan harga nasi putih dengan harga lama. 

Di Kuala Lumpur, beberapa kedai makan mamak turut mengikut arahan. 

Mohamed Husen, yanhg merupakan pemilik Husen Cafe di Jalan Thambipillay, Brickfields berkata, beliau tidak pernah menaikkan harga makanan bertahun lamanya. Malah, beliau bercadang untuk mengurangkan harga beberapa makanan pada 1 Jun. 

“Harga makanan di restoran saya sama seperti sebelum dan selepas perlaksanaan GST. Saya tidak pernah kenakan caj lebih kepada pelanggan saya. Saya sudah meletakkan notis di restoran untuk memaklumkan mereka makanan di sini sudah termasuk GST, yang saya serap,” katanya. 

“Sekarang dengan 0% GST saya tidak boleh lagi kurang harga semua menu tetapi mungkin harga beberapa makanan akan dikurangkan beberapa sen. Saya juga kosongkan GST pada sistem jualan (POS),” kata Husen, yang turut memiliki Nasi Lemak Royale berhampiran KL Sentral dan Kota Warisan, Sepang. 

Terdapat segelintir peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum menukar harga makanan. 

Pemilik restoran Punjabi di KL, yang hanya mahu dikenali sebagai Kevin berkata, harga makanan mereka tidak akan berubah sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikenakan pada September, kerana pembekal mungkin akan menaikkan harga. 

“Untuk selamat, saya tidak akan ubah harga menu saya sekarang. Pada 1 Jun, saya takkan kenakan GST tetapi pada September, SST akan dilaksanakan. 

“Jadi saya akan tunggu dan lihat sama ada pembekal saya akan mengubah harga mereka. Jika terdapat perubahan besar pada kos, barulah saya pertimbangkan untuk buat perubahan pada harga,” kata Kevin. 

Beberapa pelanggan yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka tidak pasti sama ada terdapat pengurangan harga pada restoran biasa melainkan mereka pelanggan tetap. Khairul Haniff merupakan salah seorang daripada mereka. 

“Kita tidak dapat lihat perbezaan harga melainkan kita pelanggan tetap restoran,” katanya yang brusia 31 tahun.

“Sukar untuk tahu bila seseorang itu pergi ke beberapa restoran untuk makan. Akhirnya, kita hanya bayar sahaja apa yang ditunjukkan pada bil.”

Seroang lagi pelanggan di Brickfields, Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Darren,19, berkata, kebanyakan peniaga enggan menyatakan sama ada mereka menurunkan harga makanan. 

“Ini akan menjadi peluang kepada pemilik restoran. Kita hanya boleh mengadu jika kita menyedari harga dinaikkan. 

“Tapi berapa ramai pelanggan akan buat?” soalnya. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen