CUKAI Barangan dan Perkhidmatan (GST) berakhir hari ini apabila kerajaan Pakatan Harapan mengotakan janji yang mengangkatnya untuk menakluk Putrajaya pada pilihan raya umum yang lalu.
Walaupun langkah kerajaan itu disambut baik rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi, pakar ekonomi membayangkan ia tidak akan membawa kepada pengurangan harga barangan harian dalam sekelip mata.
Sesetengah pakar yang lain pula mengingatkan kerajaan supaya cepat-cepat mencari sumber pendapatan baru untuk menampung kehilangan pendapatan kesan pelaksanaan kadar sifar GST itu.
“Kita tidak harus menjangkakan pengurangan harga barangan dengan drastik. Harga lebih dipengarui oleh masalah struktur yang lain dalam ekonomi,” kata pakar ekonomi, Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Isu asas ini termasuk harga bahan api dan sektor pertanian yang kecil, yang tidak mengeluarkan makanan yang cukup untuk permintaan tempatan, kata Noor Azlan dalam satu forum mengenai GST.
“Kuasa beli ada kaitan dengan upah. Sekiranya upah tinggi berbanding kadar inflasi, orang akan kata harga barang murah. Tetapi kalau inflasi mengatasi upah, barang akan jadi mahal.”
Mulai 1 September nanti, kerajaan akan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diguna pakai sebelum diganti dengan GST pada April 2015.
Daripada apa yang dijelaskan oleh kerajaan PH, SST nanti bukannya cukai penggunaan yang meluas dan hanya dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu.
Pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajuddin berkata dasar patah balik ini mengakibatkan kerajaan akan kehilangan pendapatan antara RM24 hingga RM26 bilion setahun.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berkata kerajaan hilang RM21 bilion kesan pemansuhan GST.
Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini berkata ia mengutip purata RM42 bilion setahun daripada GST sejak cukai itu dilaksanakan tiga tahun lalu.
Sebagai perbandingan, SST hanya mampu mengutip purata RM18 bilion setahun.
Kerajaan berkata ia akan dapat menampung kekurangan pendapatan itu dengan mengurangkan pembaziran dalam operasi.
“Tetapi kita boleh potong atau jimat setakat yang tertentu saja. Akan sampai pada satu peringkat kita tidak lagi boleh potong atau jimat, sehingga akan menjejaskan operasi minimum (kerajaan),” kata Azrul Azwar.
“Pemotongan kos, pembaziran yang menggelembung, pengurangan ketirisan bukan penyelesaian jangka panjang. Kerajaan masih perlu pada pendapatan yang berterusan untuk melunaskan semua janjinya seperti mengembalikan subsidi tersasar minyak dan menghapuskan tol.”
.jpg)
Beza GST dan SST
GST dimulakan oleh pentadbiran Najib sebagai antara usaha menangani kemerosotan pendapatan daripada minyak.
Namun kemarahan rakyat yang merata terhadap cukai itu membawa kepada kekalahan BN pada PRU14. PH berkempen atas platform janji menghapuskan GST kalau diberi mandat oleh rakyat.
Dari pelbagai sudut, GST dan SST tidak sama. GST dikenakan ke atas pengguna manakala peruncit, pemborong, pengimport dan pengeluar mengutip cukai bagi pihak kerajaan. SST pula dikenakan ke atas pengeluar dan pengimport.
GST dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan kecuali diletakkan dalam senarai yang dikecualikan. SST sebaliknya dikenakan ke atas barangan yang terhad dan kebanyakannya ke atas pengeluar.
SST tidak sama dengan cukai perkhidmatan 10% yang dikenakan oleh restoran mewah kepada pelanggannya.
Dengan SST, kerajaan perlu berkerja lebih keras untuk memastikan pengeluar dan pengimport mematuhi arahan, kata Azrul Azwar.
“Penguatkuasaan GST lebih mudah kerana ia dikenakan dengan meluas. Dengan SST sebaliknya kerajaan perlu memastikan mereka yang dikenakan cukai, membayar cukai dan hanya mereka yang boleh mengenakan cukai.”
Untuk jangka masa panjang, Azrul Azwar berharap kerajaan akan menimbang untuk memperkenalkan cukai progresif baru yang disasarkan kepada golongan kaya bagi menggantikan pendapatan yang hilang daripada GST.
“Mereka yang berpendapatan RM10,000 sebulan tidak harus dicukai pada kadar yang sama dengan orang yang mempunyai pendapatan RM100,000.” – 1 Jun, 2018.
Komen