KERAJAAN persekutuan akan mengkaji bagaimana untuk menghadapi peruntukan dalam Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tidak membenarkan caruman daripada ahlinya dipindahkan.
Seksyen 51 Akta terbabit kini menjadi penghalang kepada rancangan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan untuk memulakan skim KWSP 2% kepada suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Kadar 2% itu datang daripada 11% caruman suami mereka yang bekerja menerusi gaji mereka.
Seksyen 51 Akta KWSP menyatakan tiada amaun yang boleh diserahhakkan, dipindahkan, kena ditahan, disekuesterkan, dilevikan ke atasnya, bagi, atau berkenaan dengan, apa-apa hutang atau tuntutan apa jua pun, dan Pegawai Pemegang Harta tidaklah berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas apa-apa jumlah wang atau amaun tersebut.
Pencarum juga tidak boleh atau tidak layak untuk atau menuntut wang berkenaan.
Timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Seksyen 51 secara asasnya bermakna caruman suami tidak boleh disentuh.
“Saya teah mengadakan pertemuan dengan KWSP dan Socso hari ini. Kita perlu melihat bagaimana untuk mengatasi perkara ini bagi memulakan skim berkenaan dengan secepat mungkin.
“Ada segelintir suami yang secara sukarela membuat sumbangan ke dalam KWSP isteri mereka tetapi kerajaan mahu menyeragamkannya.
“Ini akan membabitkan kos jadi kita akan melalui kementerian kewangan,” katanya kepada pemberita ketika melawat Kampung Baru di Sungai Kob, Kulim.
Skim KWSP suri rumah merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya 100 hari Pakatan Harapan.
Dr Wan Azizah, yang juga menteri pembangunan wanita dan keluarga melawat mangsa ribut di kawasan berkenaan. Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa. – 31 Mei, 2018.
Komen