Jakim hanya dikaji semula, bukan dibubar, kata ahli Parlimen PKR


Looi Sue-Chern

Institusi itu terlalu besar peranannya, saya tak fikir ia akan dibubar, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2018.

KERAJAAN hanya mengkaji Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bukannya membubarkannya, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, perkara itu hangat dibincangkan dan terdapat spekulasi yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu memansuhkan jabatan itu.

“Saya yakin ia tak akan berlaku,” katanya menyifatkan Jakim adalah institusi penting Islam yang dibiayai puluhan juta ringgit.

“Jika kerajaan fikir perlu kaji, saya rasa sudah tentu untuk menambah baik Jakim supaya ia boleh berfungsi dan berperanan dengan lebih baik.”

Saifuddin yang juga ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu berkata zaman dan cabaran dihadapi orang Islam sudah berubah, maka perlu Jakim berubah untuk memenuhi tuntutan itu.

Katanya, kerja Jakim bukan untuk menghapuskan maksiat tetapi menafsirkan Islam sebagai cara hidup.

“Ia berkaitan dengan pemahaman Islam, pendidikan, hubungan kaum, ekonomi dan hubungan antarabangsa daripada perspektif Islam.

“Kerjanya adalah untuk menafsirkan Islam sebagai agama universal, cara hidup. Peranannya sangat besar, saya tak fikr yang kerajaan hendak kaji Jakim supaya ia boleh dibubarkan.”

Katanya, beliau akan membawa isu Jakim pada Mesyuarat Majlis Presiden PH esok.

“Kita bincang banyak perkara dalam mesyuarat itu. Jika saya ada peluang, saya akan bangkitkan. Tetapi saya yakin Jakim tak akan dibubarkan,” katanya kepada wartawan di Bukit Mertajam hari ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jakim mempunyai reputasi yang tidak menyenangkan. Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengatakan jawatankuasa akan dibentuk untuk menilai semula peranan Jakim.

Katanya, kerajaan mahu memastikan Jakim tidak menggambarkan Islam sebagai agama yang kejam dan tidak bertimbang rasa. – 31 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen