PEGAWAI Cawangan Khas (SB) yang didakwa mendedahkan bahawa polis adalah dalang di sebalik penculikan sekurang-kurangnya dua aktivis yang hilang, tidak akan memberikan kesaksian hari ini walaupun bersetuju untuk memberi keterangan dalam siasatan awam yang sedang berlangsung.
Sebaliknya, pemerhati polis siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memeriksa balas Norhayati Arrifin, isteri kepada aktivis yang hilang Amri Che Mat hari ini.
Dalam testimoninya semalam, Norhayati mendedahkan bagaimana pegawai SB Sarjan Shamzaini Mohd Daud dari Perlis, mendakwa suaminya berada dalam pengawasan polis sebelum dia didapati hilang.
Shamzaini juga mendakwa bahawa bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar sedar mengenai operasi ini. Amri didakwa disiasat kerana menyebarkan ajaran Syiah dan terlibat dalam forex.
Norhayati juga memberitahu panel siasatan bahawa pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman menculik Amri dan Pastor Raymond Koh. Ini, katanya, juga didedahkan kepadanya oleh Shamzaini, 38.
Berbekalkan maklumat itu, Norhayati membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Suhakam yang kemudiannya mempercepatkan tarikh siasatan.
Hari ini apabila siasatan disambung semula, Ketua Polis Sentul, Penolong Pesuruhjaya R. Munusamy dan pasukannya dijangka memeriksa balas Norhayati.
Sumber Suhakam mendedahkan bahawa mereka menghubungi Shamzaini yang bersetuju untuk memberi keterangan, tetapi dia hanya akan memberikan keterangan selepas semua saksi lain berbuat demikian.
Siasatan itu dimaklumkan semalam bahawa Shamzaini memutuskan untuk bersuara memandangkan kerajaan baharu mengambil alih Putrajaya dan kerana dia tidak mahu terlibat dalam kes kehilangan Amri.
Amri hilang pada 24 November 2016. Dia dipercayai diculik oleh sekumpulan individu yang memandu kenderaan pacuan empat roda yang dilihat mengepung kenderaannya di Kg Padang Behor.
Koh pula diculik pada 13 Februari tahun lalu oleh beberapa individu yang memakai topeng dan memandu SUV hitam yang menghalang kenderaannya di di Petaling Jaya.
Suhakam sedang melakukan siasatan awam terhadap kehilangan Amri, Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Joshua, Ruth, untuk mengenal pasti sama ada ia kes kehilangan secara paksaan ataupun tidak.
The Malaysian Insight akan membawakan anda perkembangan terkini daripada prosiding ini:
4.40pm: Peguam keluarga Amri Jerald Gomez bertanya kepada Aizat sama ada dia tahu yang Shamzaini menafikan bercakap mengenai penculikan Amri.
Gomez turut bertanya jika dia tahu yang Shamzaini datang hanya untuk menyewa sebuah kedai.
Aizat berkata semasa perbualannya dengan Norhayati, dia (Norhayati) tidak pernah menyebut apa-apa tentang menyewa kedai.
Gomez kemudian bertanya kepada Aizat jika dia (Norhayati) mereka-reka pertemuaannya dengan Shamzaini.
Aizat berkata Norhayati hanya mempunyai sebuah kedai yang disewakannya kepada Parit Audio.
“Apa yang saya tahu Parit Audio menyewa di kedai itu selama 10 tahun.
“Jadi tidak masuk akal untuk dia (Shamzaini) datang dan meminta untuk menyewa sebuah kedai.”
Inkuiri berakhir dan akan disambung semula pada 7 Jun.
4.20 pm: Panel kemudian memanggil Aizat Zahid yang merupakan kawan keluarga Amri memberi keterangan.
Aizat memberitahu panel yang dia dimaklumkan tentang pertemuan antara Norhayati dan Shamzaini.
“Saya diberitahu tentang pertemuan itu dari Norhayati yang menghantar mesej kepada saya pada jam 12.50 pagi dan dia ada juga miss call daripada dia.
“Saya membaca mesej itu pada jam 1 pagi. Dalam mesejnya, dia kata perlu bantuan kerana seorang pegawai polis telah bercakap dengannya tentang penculikan Amri.”
Aizat memberitahu panel yang dia pergi ke rumah Norhayati dan diberitahu tentang semua maklumat diperolehi daripada pertemuan itu.
4.10 pm: Munusamy kemudian bertanya kepada Amira jika dia tahu laporan polis yang dibuat di Shah Alam juga akan dihantar ke Perlis.
“Adakah awak tahu mengapa (berkaitan laporan) pegawai polis pergi ke rumah awak?”
Amira mengatakan dia tidak tahu.
Munusamy kemudian bertanya kepada Amira jika dia tahu Shamzaini membuat laporan polis menafikan penglibatan polis dalam penculikan itu.
Sekali lagi Amira mengatakan dia tidak tahu.
Panel kemudian menamatkan sesi beri keterangan Amira.
4pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Amira sama ada ada perkara berlaku selepas mereka membuat laporan polis.
Amira mengatakan selepas membuat laporan polis dan ketika dalam perjalanan pulang ke Perlis, adik perempuan keduanya menelefon memberitahu yang polis datang ke rumahnya.
“Kami diberitahu yang hanya seorang polis beruniform, tiga lagi berpakaian biasa.”
3.30pm: Pegawai Suhakam meminta dia supaya menceritakan semula mengenai pertemuan antara Norhayati dan Shamzaini.
Amira berkata dia bersama ibunya sepanjang perbulalan mereka berdua selama dua jam.
“Saya tinggalkan mak saya selama lima minit untuk mengambil sedikit duit di bilik saya.”
Amira kemudian memberitahu inkuiri bahawa pada 14 Mei lalu beliau mengikut ibunya untuk berjumpa dengan peguam dan pada 15 Mei membuat laporan polis.
3.20pm: Inkuiri memanggil anak perempuan kedua Amri, Nur Amira Amri, 18 ke kandang saksi.
Amira mendakwa berada bersama Norhayati semasa Shamzaini menceritakan dakwaan insiden penculikan Amri.
3.10pm: Munusamy kemudian bertanya kepada Norhayati sama ada dia tahu Shamzaini bekerja di bahagian mana dalam pasukan polis.
Norhayati menjawab yang dia tidak tahu (sebelum bertemu dengan dia).
Munusamy bertanya Norhayati sama ada dia tahu Shamzaini bekerja dalam pentadbiran sehingga Januari 2018.
Pesuruhjaya Mah Weng Kwai kemudian mencelah dan berkata dia hanya bertemu dengan Shamzaini pada 12 Mei.
Munusamy memberitahu inkuiri bahawa semasa dakwaan penculikan berlaku (ketika Amri diculik pada November 2016) Shamzaini bekerja dalam bahagian pentadbiran.
Panel kemudian melepaskan Norhayati.
2.55pm: Munusamy bertanya kepada Norhayati sama ada beliau sedar Shamzaini membuat laporan polis menafikan perkara yang dia dedahkan kepada panel.
Norhayati berkata dia tidak tahu (mengenai laporan polis).
Munusamy meminta Norhayati membaca laporan polis tersebut.
Norhayati kemudian memberitahu inkuiri itu bahawa dalam laporan Shamzani berkata dia (Shamzani) hanya datang pada 12 Mei untuk bertemu dengannya dan bertanya jika dia boleh menyewa sebuah kedai di rumahnya.
Beliau kemudiannya menjawab bahawa tidak tahu mengenai laporan tersebut.
2.50pm: Munusamy kemudian bertanya sama ada Norhayati tahu semua maklumat yang diberikan oleh Shamzaini kepadanya pada 12 Mei merupakan maklumat awam.
Norhayati membalas bukan semua.
Munusamy kemudian bertanya kepadanya tentang Shamzaini dengan mengatakan beliau akan memberikan gambar Razman (ketua Shamzanin).
“Adakah anda menerima sebarang maklumat untuk Shamzaini sebelum membuat laporan polis pada 15 Mei?”
Norhayati berkata dia tidak pernah berjumpa atau bercakap dengannya selepas 12 Mei.
2.30pm: Pemerhati polis, Ketua Polis Sentul R. Munusamy bertanya kepada Norhayati mengenai laporan media tentang kumpulan yang menculik Amri dan memecah cermin keretanya, dan sama ada bersetuju dengan laporan itu.
Norhayati mengatakan beliau mengetahui tentang laporan itu.
Munusamy kemudian bertanya sama ada beliau tahu ada sebuah kereta Vios berwarna emas ketika penculikan berlaku.
Norhayati kemudian berkata beliau diberitahu mengenai kereta Vios itu selepas penculikan berlaku.
2.20pm: Hari kedua siasatan Suhakam diteruskan dengan isteri aktivis hilang Amri Che Mat dipanggil memberi keterangan.
Norhayati dipanggil untuk memberi keterangan yang pegawai polis terlibat dalam penculikan suaminya.
Komen