Rakyat Malaysia perlu sabar, beri ruang pada Pakatan


Bede Hong

Rakyat perlu bersabar dan beri ruang kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) memenuhi janji manifestonya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2018.

RAKYAT Malaysia sepatutnya bersabar dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) ketika ia cuba untuk memenuhi ikrar perubahan yang dijanjikannya dalam tempoh 100 hari pertama, kata seorang paderi pada sebuah forum malam tadi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Katolik di Kuala Lumpur, Rev Fr Clarence Devadass juga meminta penganut Kristian yang menyokong PH supaya tidak terlalu bergembira dengan kemenangan bersejarah PRU14, mengingatkan mereka bahawa sekarang ialah masa untuk “perdamaian, pemulihan dan peremajaan semula”.

“Pengundi mahu mengatasi rasa takut dan rasuah, dan kita Kristian sepatutnya bermula dari situ,” kata Devadass di hadapan khalayak kira-kira 200 orang di Gereja St. Francis Xavier, Petaling Jaya malam tadi.

“Ada kebangkitan moral di Malaysia. Mereka memberi respons terhadap apa yang berlaku. Etnik bukan lagi isu.

“Tetapi rakyat sedang melihat untuk pembaikan dibuat dengan pantas. Apa yang saya bimbang ialah rakyat jadi tidak sabar. Pakatan beri 100 hari dan jika anda tidak lihat keputusannya, rakyat akan jadi tidak sabar dan pesimisme akan kembali.”

Speaker lain pada forum malam tadi yang bertajuk; “Harapan, Realiti dan Masa Depan. Refleksi Kristian Pasca PRU14” ialah pakar politik Universiti Kebangsaan Malaysia Helen Ting dan exco Kairos Dialogue Network Eugene Yapp.

Devadass berkata pembaharuan mungkin membabitkan “kembali kepada tradisi kita untuk bekerja ke arah Malaysia baharu yang diimpikan nenek moyang kita”.

“Kunci untuk semua ini ialah sabar. Kita perlu bersabar dan beri ruang kepada pemimpin dan sokong mereka. Saya fikir kita semua ada peranan, setiap seorang tanpa mengira umur atau kaum.”

Menjawab soalan hadirin tentang bantahan kepada pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan, Devadass berkata penganut Kristian tidak boleh melakukan pembunuhan watak.

Pengkritik mengkritik pelantikan Maszlee, berkata beliau seorang “radikal Islam” dan dikatakan “menyokong” pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

“Kita tidak sepatutnya mula menghakimi orang lain. Apa juga jawatan, berilah peluang kepadanya membuktikan diri,” kata Devadass.

“Apa yang penting bagi saya ialah tidak perlu layan isu kecil kerana kebebasan baharu akan datang bersama tanggungjawab baharu dan kita perlu ambil pemilikan negara ini.”

Devadass juga bercakap tentang sumbangan yang dimulakan oleh pengundi untuk membantu kerajaan membayar hutang RM1 trilion; “Anda tidak pernah dengar rakyat sumbang untuk membantu kerajaan. Ini adalah petanda harapan yang hebat.”

Antara janji PH dalam 100 hari pertama ialah memansuhkan GST, kembalikan subsidi minyak, menyiasat institusi terbabit dengan skandal dan menyemak semula projek mega. – 31 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen