RTS Johor-Singapura akan diteruskan, kata menteri


Bede Hong

PEMBINAAN Sistem Aliran Ringan (RTS Link) menghubungkan Bukit Chagar, Johor dan Woodlands North, Singapura akan diteruskan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Kerajaan sudah bersetuju teruskan RTS.

“Tetapi kami akan semak balik perjanjian. Kami mahu semak terma dan syarat,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

Loke berkata Kementerian Kewangan akan berusaha mencari kaedah mengurangkan kos projek itu.

“Tetapi kami komited untuk teruskan projek itu,” katanya.

Projek dijadualkan bermula pada 2019 dan dijangka beroperasi pada 2024.

RTS Link berupaya mengurangkan kesesakan lalu lintas sehingga 15% sebaik sahaja beroperasi.

RTS Link juga mempunyai kemampuan membawa sehingga 10,000 penumpang per jam per arah (pphpd) atau 72,000 penumpang sehari, yang bermaksu menambah jumlah mereka yang melintasi Tambak Johor sebanyak 60,000 sehari ketika waktu puncak berbanding 300 pphpd sekarang.

Sementara itu, Loke sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan yang penghentian Projek MRT Aliran 3 tidak memakan belanja besar kerana “hanya kerja minimum” dijalankan.

“Setakat yang taklimat yang kami terima, kos sangat minimum. Saya tak ada butiran sekarang. Tetapi Kabinet sudah buat keputusan batal MRT3 seperti diumumkan perdana menteri pagi tadi.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengatakan kerajaan akan membatalkan projek bernilai RM40 bilion itu yang meliputi 40km dari Ampang Jaya ke Sentul di Kuala Lumpur. Diluluskan ketika pentadbiran Barisan Nasional di terajui Najib Razak, pembinaan MRT3 sepatutnya bermula pada 2025.

Menyentuh mengenai Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), Loke mengatakan projek itu akan kekal terbatal tertakluk kepada “rundingan dengan kerajaan Singapura.”

Loke menolak pertanyaan mengenai komennya sebelum ini apabila beliau mengatakan tidak mengetahu mengenai perbincangan HSR sebelum pengumuman Dr Mahathir semalam.

“Okaylah. Seperti yang semua tahu (kandungan) mesyuarat Kabinet (pagi ini) tak boleh didedahkan. Apa saya yang berlaku dalam Kabinet adalah rahsia rasmi. Saya tak boleh beritahu apa yang berlaku. Saya hanya boleh beritahu keputusan kerajaan.”

HSR sepanjang 350km menelan belanja RM110 bilion. Denda pembatalan yang perlu dibayar Malaysia adalah RM500 juta, kata Dr Mahathir. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen