Laporan akhir pencarian MH370 dikeluarkan Julai


Bede Hong

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata harapan mengesan pesawat MH370 tidak akan pernah padam dan jika ada maklumat baru mungkin ia akan dapat dikesan pada masa hadapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Mei, 2018.

KERAJAAN akan memuktamadkan dan menerbitkan laporan akhir pencarian kerjasama antarabangsa mengesan pesawat MH370 pada Julai ini.

Pencarian yang memakan masa empat tahun itu melibatkan pasukan penyiasat dari tujuh buah negara, Malaysia mengeluarkan belanja sebanyak RM500 juta, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Saya mahu menegaskan yang aspirasi untuk mengesan MH370 tidak akan diabaikan dan kita berharap akan menemui jawapan yang dicari dan maklumat baru muncul, (akhirnya) di masa hadapan pesawat itu akan dapat dikesan,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

Loke tidak menolak kemungkinan pencarian akan diteruskan di masa depan jika terdapat petunjuk baharu: “Tiada batas masa. Buat masa sekarang, kita mahu fokus kepada laporan.”

“Sudah tentu banyak syarikat yang datang bawa cadangan. Tetapi tanpa petunjuk atau bukti yang kawasan itu sesuai untuk dilakukan pencarian, kita tak boleh terima semua syarikat.”

“Ada beberapa pertimbangan sebelum keputusan diambil,” katanya menambah yang kerajaan akan terus berusaha merungkai misteri MH370.

Sebuah misi mencari dilakukan Ocean Infinity, sebuah syarikat AS menamatkan misi semalam selepas meneroka 112,000 kaki persegi dasar laut Lautan Hindi sejak 90 hari lepas.

Syarikat itu mengadakan kontrak “tiada penawar, tiada bayaran” yang membolehkan ia menerima sehingga AS$70 juta dengan syarat ia menemui bangkai pesawat Boeing 777 itu.

Sebelum ini, pasukan penyiasat MH370 melibatkan 19 wakil daripada organisasi penyiasat kemalangan udara dari Australia, China, Perancis, Indonesia, Singapura, UK dan AS.

Loke menambah yang keluarga masa akan diberikan keutamaan akses kepada “semua data dan maklumat” dalam laporan sebelum ia diterbitkan.

MH370 yang membawa 239 orang dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014 sebelum hilang tanpa dikesan.

Keluarga mangsa berulang kali mendesak usaha pencarian diteruskan kembali, beberapa orang juruterbang pula mengatakan bangkai pesawat mungkin berada jauh di selatan Lautan Hindi. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen