Jamal masih hilang, tak muncul beri keterangan


Radzi Razak

Peguam Jamal, Mohd Imran Tamrin merayu anak guamnya tampil berjumpa polis untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kepadanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 30 Mei, 2018.

JAMAL Yunos tidak muncul di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya hari ini walaupun semalam mengatakan akan datang memberi keterangan.

Media menunggu sejam jam dua petang dalam hujan lebat, tetapi pemimpin Baju Merah itu tidak hadir tanpa memaklumkan kepada peguamnya, Mohd Imran Tamrin.

Imran berkata, Jamal gagal memberi arahan lanjut kepada beliau untuk bertindak. Imran meninggalkan Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya selepas sejam menunggu anak guamnya itu.

“Saya secara peribadi bersama rakan-takan peguam yang lain akan terus memberikan nasibat dan kami berharap supaya Datuk Seri Jamal dapat menampilkan diri dengan segera dan memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan segera supaya semua pihak dapat penjelasan yang sebenar apa yang berlaku pada hari Jumaat yang lepas dan kita dapat menyelesaikan segala persoalan dan tomahan yang sedang viral di kalangan netizen inilah harapan kami.

“Beliau telah dimaklumkan untuk datang segera bukan hari ini sahaja sejak daripada tempoh yang lepas cuma sebelum saya difahamkan dia akan hadir hari ini,” kata beliau.

Imran yang menyatakan segala masalah berkaitan Jamal adalah kerana salah faham bagaimanapun mengakui polis masih mencari anak guamnya itu.

Malah beliau sendiri selaku peguam hanya dapat bercakap dengan anak guamnya beberapa hari lepas dan tidak tahu dimana Jamal berada.

“Polis ada kuasa untuk menahan dia (Jamal) jika bertemunya. 

“Kalau saya tahu di mana Jamal berada, saya bawa media berjumpanya. Tak perlulah kita berdiri dalam hujan begini,” kata beliau.

Semalam, dalam satu rakaman audio Jamal disebarkan kepada media, beliau berkata akan ke IPD Ampang Jaya untuk memberi keterangan pada kira-kira jam dua petang hari ini.

“Kononnya saya lari daripada reman dan tahanan polis. Ini tak berlaku, tetapi cuma sedikit salah faham.

“Jadi untuk selesaikan kemelut ini, saya akan hadir memberi keterangan esok,” katanya dalam rakaman tersebut. 

Rakaman tersebut disahkan tulen oleh Imran.

Jamal yang juga ketua Gerakan Baju Merah itu didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan ekoran mengetuai bantahan penganjuran “Better Beer Festival 2017” (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada 5 Oktober lalu.

Jamal juga disiasat mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api 1960 atas dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat sebelum ini meminta Jamal tampil menyerah diri ke balai polis bagi menjelaskan mengapa beliau menghilangkan diri sebelum proses jaminan beliau selesai daripada Hospital KPJ Ampang Puteri Jumaat lalu. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen