Majlis Media akan dibentangkan di Kabinet 2 minggu lagi, kata menteri


Kamles Kumar

CADANGAN pembentukan Majlis Media akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa dua minggu lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Katanya, beliau sedang merancang struktur majlis itu dan akan bertemu semua pihak yang berkaitan.

“Kami sudah mengatakan yang kami mahu wujudkan majlis media. Kami dalam proses untuk membentuk strukturnya. Kami akan mendapatkan penglibatan semua sektor. Kami mencadangkan untuk bentangkan di Kabinet dalam dua minggu lagi,” kata Gobind dalam sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Puchong itu mengatakan beliau juga sedang menilai dasar yang akan menunjangi kementeriannya dan juga akan merombak beberapa agensi berkaitan.

“Beberapa agensi perlu penstrukturan semula. Ia perlu dibubar dan dibina kembali,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata beliau akan berjumpa semua pengendali komunikasi besar pada minggu depan bagi mengurangkan harga perkhidmatan Internet di Malaysia.

Beliau berkata kerajaan kini sedang mengkaji untuk meningkatkan kelajuan Internet dan mengurangkan kos, tetapi perlu mengambil kira kemungkinan kos.

“Kami sedang memikirkan perancangan tertentu. Kami masih mengusahankannya. Saya akan berjumpa syarikat telekomunikasi minggu depan atau minggu berikutnya untuk berbincang,” katanya pada sidang media hari ini.

Minggu lepas, Gobind berkata kelajuan Internet akan dipertingkatkan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum pilihan raya.

Beliau berkata orang ramai membuat aduan mengenai kelajuan Internet di negara ini yang perlahan berbanding negara-negara jiran. – 30 Mei, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen