ISTERI aktivis yang hilang, Amri Che Mat mahu Kementerian Dalam Negeri melindungi pegawai Cawangan Khas kerana memberi keterangan dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Norhayati Ariffin berkata dia berharap Sarjan Shamzaini yang akan memberi keterangan esok akan diberi perlindungan.
“Kami berharap bebas memberitahu apa yang telah didedahnya (mengenai penculikan Amri).
“Selepas mendedahkan rahsia besar seperti itu, dia tentu rasa tertekan dan mungkin harus memberitahu semua maklumat.
“Kami harap dia diberikan perlidungan,” kata Norhayati selepas inkuiri Suhakam hari ini.
Norhayati dipanggil memberi keterangan mengenai pegawai Cawangan Khas yang mendakwa polis terlibat dalam penculikan suaminya dan Pastor Raymond Koh.
Pegawai terbabit dikatakan memberitahu Norhayati bahawa Bukit Aman bertanggungjawab ke atas kehilangan mereka.
Norhayati berkata pada 12 Mei, pegawai itu datang ke rumahnya di Kangar dan memberitahu Amri ditangkap oleh anggota polis dari Bukit Aman.
“Itulah sekali saya jumpanya. Dia beritahu supaya perbualan kami tidak direkodkan dan dia kelihatan takut serta resah waktu itu.
“Dia beritahu kami tak akan berjumpa lagi.”
Isteri Koh, Susanna Liew yang turut hadir pada inkuiri hari ini berkata selepas lebih setahun mereka akhirnya mendapat sedikit maklumat mengenai penculikan Amri dan Koh.
“Kami bimbang apabila polis tidak memberi sebarang komen. Kami bimbangkan keselamatan pegawai itu.
“Kami gesa Kementerian Dalam Negeri mempercepatkan (hal itu) dan menyiasat tuduhan serius ini, iaitu Cawangan Khas terlibat.”
Amri yang juga seorang peniaga forex hilang pada 24 November 2016. Dia dipercayai diculik oleh sekumpulan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dilihat mengelilingi keretanya di Kg Padang Behor. – 30 Mei, 2018.
Komen