Pemuda Umno menggesa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap kemelut Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) bagi mengenalpasti fakta kes yang berlaku dalam syarikat berkait kerajaan itu.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata, sekiranya terdapat unsur yang menyalahi undang-undang sedia ada kedua-dua badan itu perlulah mengambil tindakan segera terhadap FGV.
“Pemuda Umno merasakan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia mempunyai peranan besar untuk mengawal selia dan memantau tabir urus syarikat awam tersenarai dan juga memelihara kepentingan pemegang saham terutamanya kumpulan minoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul berkata pemuda Umno memandang serius masalah dalaman yang dihadapi FGV.
Semalam Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Ahmad Tifli Mohd Talha yang sedang digantung tugas, dikenakan surat tunjuk sebab.
Surat itu dikeluarkan berhubung “hutang tertunggak Safitex Trading dengan Delima Oil Products Sdn Bhd”, menurut FGV dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam.
Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti ialah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading Ahmad Salman Omar.
Sejurus selepas penggantungan itu, Pengerusi FGV Isa Samad memberitahu wartawan yang siasatan PricewaterhouseCooper (PwC) terhadap urus niaga itu mendapati ada beberapa kesalahan berkaitan rasuah.
Bagaimanapun beberapa pertubuhan anak peneroka dan badan bukan kerajaan mendesak Perdana Menteri Najib Razak memecat Isa daripada FGV. – 14 Jun, 2017.
Komen