KETIKA Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menurunkan kos harga makanan dan bahan asas lain, sudah jelas bahawa ia bukan semudah menekan suis.
Malah, pakar dasar makanan Dr Mohd Yusof Saari berkata langkah besar itu termasuk memansuhkan skim Permit Import (AP) dan mengukuhkan ringgit yang perlu dilakukan oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebelum rakyat Malaysia dapat melihat harga cili dan ikan kembung turun.
Perubahan itu termasuk mengakhiri monopoli import, mengukuhkan ringgit, mengawal harga minyak dan mengukuhkan rantaian bekalan di pasaran.
“Kerajaan juga perlu melakukan semakan semula dengan berhati-hati dan merangka dasar serta strategi yang mungkin boleh menyebabkan harga makanan naik.
“Contohnya ialah gaji minimum mempengaruhi kos pengeluaran yang kemudiannya memberi kesan pada harga,” katanya yang bertugas di Institut Pengajian Pertanian dan Dasar Makanan di UPM.
“Dasar pada masa depan yang mungkin menjejaskan kos pengeluaran perlu disemak semula secara berhati-hati,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Terlalu awal untuk melihat penurunan ketara dalam harga makanan. Tetapi saya sangat percaya kerajaan semasa mempunyai keupayaan untuk menstabilkan harga dalam tempoh terdekat,” katanya yang juga penasihat dasar makanan dalam kerajaan sebelum ini.
Import besar
Kemarahan pengundi terhadap harga makanan yang tinggi antara faktor penyebab kekalahan bersejarah Barisan Nasional pada PRU14.
Beberapa bulan sebelum pilihan raya, harga makanan dan minuman tidak beralkohol naik setinggi 4% pada November 2017 berbanding November 2016.
Dalam kempennya, PH berjanji ia akan menurunkan kos sara hidup dalam tempoh 100 hari. Dalam manifesto Buku Harapan, ia berjanji untuk mengakhiri monopoli dalam pengeluaran makanan.
Harga makanan naik akibat daripada beberapa faktor, kata Yusof.

Ini termasuk ringgit lemah yang menyebabkan makanan import lebih mahal. Malaysia membelanjakan lebih RM38.1 bilion untuk import makanan pada 2017, kerana sektor pertanian negara tidak dapat menghasilkan makanan mencukupi bagi memenuhi keperluan negara.
Sebagai contoh, ladang hanya dapat menghasilkan 70% permintaan beras, atau terma pakar ialah mencapai 70% sara diri. Negara ini perlu mengimport beras untuk memenuhi permintaan 30% lagi.
Malaysia juga mengimport sayur seperti cili (49.1% sara diri) dan kubis bulat (61.9%). Untuk daging kambing dan lembu, Malaysia hanya 11.8% dan 25.1% sara diri.
“Walaupun sesetengah produk di atas paras sara diri, ia tidak bermakna import sifar bagi produk itu,” kata Yusof.
Contohnya ialah walaupun negara dapat menghasilkan ayam itik yang mencukupi, ladang masih bergantung pada makanan ternakan yang akan menentukan harga akhir ayam.
Pendekatan berdasarkan pasaran
Bagi menurunkan harga, kerajaan perlu mengukuhkan ringgit, kata Yusof. Pada masa ini, dolar AS berbanding ringgit ialah RM3.98.
“Kandungan import dalam produk makanan adalah besar. Bagi setiap ringgit makanan, sekitar RM0.11 – RM0.28 import diperlukan, bergantung pada produk,” katanya.
Pengaruh besar lain ialah monopoli dalam import makanan dan bekalan hasil segar sumber tempatan.
“Monopoli mengganggu pasaran dengan menghalang pertandingan dan memberi pengguna pilihan yang terhad dalam harga dan kualiti,” katanya.
AP untuk mengimport makanan, misalnya diberikan kepada syarikat tertentu dan ini membenarkan mereka menetapkan harga secara langsung dan tidak langsung.
Katanya, monopoli ini perlu dihentikan dengan memansuhkan AP dan mendapatkan lebih banyak syarikat terbabit dalam penghasilan makanan.
Kerajaan juga perlu mengawal harga minyak dan memastikan dasar seperti gaji minimum tidak menyebabkan kos pengeluaran makanan meningkat. – 30 Mei, 2018.
Komen