SENGKETA adik beradik ini tercetus di media sosial, tetapi Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong tidak sendirian apabila netizen negara pulau republik itu mempertahankannya.
Lee yang mencatatkan kekecewaannya di Facebook selepas adik beradiknya memilih untuk mengeluarkan kenyataan tentang masalah keluarga serta menafikan semua dakwaan yang dibuat kepadanya dan isteri, Ho Ching: menarik reaksi lebih daripada 14,000 pengguna media sosial.
Catatan itu juga menarik lebih 1,700 komen- kebanyakkan memihak kepadanya- dan 2,400 perkongsian selepas hanya lima jam diterbitkan.
Zhengquan Qin memperlekehkan isu itu, memberitahu pemimpin negara itu supaya terus kuat memandangkan isu itu hanyalah berkaitan dengan meruntuhkan rumah lama keluarganya di Oxley Road.
“Kekal kuat PM Lee. Saya mula ingatkan isu serius berkaitan dengan urus tadbir anda dalam kerajaan. Kemudian saya sedar selepas membacanya yang semua ini hanyalah soal hendak meruntuhkan rumah.”
Tony Teo pula memberitahu Hsien Loong supaya tidak risau, menambah yang dia percaya kepimpinan PM itu.
“Bila saya baca berita itu, saya bertanya diri sendiri ‘adakah mereka ini ada menyumbang kepada Singapura seperti mana dilakukan En. Lee? Tidak.’ Jadi saya tak peduli apa yang mereka kata. Itu hak mereka dan hak saya adalah untuk tak pedulikan semua ini,” tulisnya.
Awal hari ini, adik beradik perdana menteri itu, Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling dalam kenyataan bersama enam muka surat menuduhnya menyalahgunakan kedudukan dan pengaruh dalam kerajaan untuk agenda peribadinya.
Mereka menuduhnya cuba menggunakan legasi mendiang ayah mereka Lee Kuan Yew kerana gagal menghormati wasiatnya untuk merobohkan rumah di Oxley Road. Mereka juga menyerang isterinya Ho Ching dan anak lelakinya Li Hongyi.
Jane Tann pula berkata bukan satu kerugian untuk Singapura sekiranya Hsien Yang meninggalkan negara itu. Dia juga memuji Hongyi yang disifatkannya “cemerlang dan kurang diberikan perhatian” ketika dia menyampaikan eulogi untuk mendiang Kuan Yew berbanding yang lain.
“Sangat keji kerana mereka mengheretnya sekali. Dan masa rencana itu yang diterbitkan ketika anda tidak berada di Singapura, membuktikan motif mereka.
“Saya harap adik beradik anda berhenti memuat naik masalah keluarga di media sosial. Tidak mencerminkan perkara baik tentang mereka. Fokus sahaja kepada mentadbir Singapura,” katanya.
Hsien Loong kini sedang bercuti di luar Singapura.
Alexis Lau pula berkata “hina” untuk adik beradik itu mengeluarkan kenyataan menentang abang mereka ketika dia sedang bercuti, dan meminta Hsien Loong supaya kekal kuat.
“Saya rasa tindakan adik beradik itu keji. Mereka tahu abang mereka ialah personaliti awam dan memilih untuk menghebahkan masalah keluarga. Ini ialah tindakan paling hina boleh dilakukan. Saya akan sokong anda En. Lee. Bertabahlah,” kata ZP Tan.
Bagaimanapun, ada juga mereka yang merasakan ada perkara lebih besar dalam sengketa keluarga itu berbanding hanya tentang rumah yang diwasiatkan Kuan Yew dirobohkan selepas kematiannya.
“Malangnya, ia lebih daripada isu rumah. Dalam isu kebertanggungjawaban, memang ada konflik kepentingan apabila isterinya ialah CEO Temasek dan dia ialah PM.
“Semua kesilapan dan kerugian yang dia (Ho Ching) lakukan, siapa yang bertanggungjawab? Seperti semua organisasi besar atau kecil pun, kita perlu mekanisma periksa imbang yang betul. Semua ini perlu dibetulkan untuk kebaikan Singapura,” tulis James Tan.
Katanya lagi adik beradik itu turut mendakwa abangnya mempengaruhi agensi di Singapura untuk kepentingannya.
“Adakah kamu baca kenyataan yang ditulis adik beradik itu atau hanya baca tajuk berita? Jika seseorang boleh mengubah banyak undang-undang, bayangkan apa yang dia boleh lakukan untuk memenangi pilihan raya atau pemilihan presiden.
Henry Ace berkata adik beradik itu mungkin tidak mahu menghebahkan masalah keluarga kepada khalayak dan penerbitan kenyataan itu mungkin merupakan pilihan terakhir mereka.
“Ia menunjukkan banyak perkara sedang berlaku di peringkat tertinggi tanpa pengetahuan rakyat. Saya syak ini hanyalah sebahagian kecil saja yang kita nampak,” tulisnya.
Jacq Low pula berkata pengekalan rumah itu tidak akan membantu legasi Hsien Loong.
“Singapura ialah demokrasi meritokratik. Bukan monarki. Lee lain layak untuk kerja hanya kerana dia cucu LKY tidak selaras dengan legasi meritokrasi LKY.
“Kerana itu hormati permintaan mendiang dan robohkan rumah itu serta merta,” pintanya.
Sementara itu, kenyataan Hsien Yang di Facebook yang diterbitkan pada jam 3 pagi hari ini menarik lebih 250 komen, 2,100 perkongsian dan 1,800 reaksi selepas dimuat naik selama 14 jam. Banyak komen marah yang ditinggalkan dalam akaun Facebook Hsien Yang.
Gigi Ang menggelarkan mereka berdua “badut” kerana berbincang tentang Oxley House ketika Singapura sedang berdepan ancaman keganasan dan cabaran untuk menjadikan Singapura negara yang bersatu padu.
Andrea Kwan mengecamnya dan We Ling kerana “pentingkan diri dan rasa diri layak dan juga, manja” sambil mengingatkan yang abang mereka ialah perdana menteri negara itu yang keutamannya ialah Singapura.
Dia juga berkata yang adik beradik itu “meludah kubur bapa mereka” dan menghancurkan legasinya.
“Dengan cabaran dalam dan luar yang dihadapi Singapura untuk terus berdiri, anda memilih untuk menjadikan Singapura bahan lawak di pentas dunia dan menunjukkan perpecahan kepada dunia. Perkara ini tidak akan dilakukan ayah anda- menunjukkan kelemahan Singapura.
“Awak dan adik beradik serta anak lelaki manja awak boleh pergi. Awak tak buat apa-apa selain memalukan ayah awak dan Singapura. Anda semua memilih keluarkan kenyataan pada jam 3 pagi ketika abang awak tiada di Singapura. Ini jelas menunjukkan sikap dengki dan pendendam awak.
“Awak semua patutnya bersatu dan berdiri di belakang abang awak dan menyelesaikan semua perkara ini secara tertutup. Tetapi sebaliknya awak menunjukkan sikap tikam belakang. Pergilah. Pasti ayah awak akan bangga dengan keluarga awak dan adik beradik perempuan awak.
Pengguna Facebook juga merujuk kepada Hsien Yang yang mengatakan dia “terpaksa meninggalkan Singapura kerana bimbang abangnya menggunakan sistem untuk menentangnya”.
Wong Charmaine berkata yang tindakan adik beradik perdana menteri itu “menyedihkan” menambah yang mereka sewajarnya menggunakan proses sepatutnya untuk menentang abang mereka dan bukannya menggunakan media sosial.
Ada juga yang memberi peluang kepada Hsien Yang, seperti Benton Lim yang mengatakan hanya adik beradik dan mereka yang rapat dengan perdana menteri boleh menghakimi karakternya, sementara yang lain hanya boleh menilai dasarnya.
“Saya percaya ada kebenaran dalam cerita ini. Kenyataan ini tidak akan dikeluarkan sekiranya LHY (Hsien Yang) merasakan tidak perlu. Jadi kita perlu mendengar apa yang dia katakan.
“Bagaimanapun saya rasakan ia ironik apabila orang yang tidak mampu selesaikan masalah keluarganya sendiri dianggap layak memerintah sebuah negara,” katanya.
Ada juga beberapa komen lucu. Lam Yong Xian menggelarkan penyokong perdana menteri sebagai “boneka LHL” sementara Moses Fang mengatakan keluarga Lee boleh menggunakan peluang ini untuk mempromosikan terapi keluarga, merujuk kepada kisah putera Britain yang bercakap tentang kesihatan mental.
Sementara itu, Li Yifeng pula mencadangkan referundum dilakukan bagi menentukan sama ada rumah itu perlu dirobohkan atau tidak.
“Biarkan rakyat Singapura yang tentukan memandangkan Pengasas Singapura PM Lee Kuan Yew berkhidmat untuk Singapura sepanjang hidupnya… pada pandangan saya ia lebih penting berbanding pengundian presiden yang tidak bermakna itu,” tulisnya di akaun Facebook Hsien Loong. – 14 Jun, 2017.
Komen