T.PREVIIN salah seorang mangsa dalam kejadian serangan minggu lepas mendapati dirinya menerima perhatian “yang tidak diminta” ketika masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Previin yang cedera selepas berjaya melepaskan diri dalam kejadian serangan yang menyebabkan kawannya diisytiharkan mati otak selepas tidak sedarkan diri kerana dibelasah, menerima panggilan daripada orang asing yang menawarkan bantuan, kata bapa saudaranya MGR Devan.
“Dia terima panggilan daripada nombor yang dia tidak kenal. Pagi ini saja, dua atau tiga orang telefon.
“Ada yang mendakwa mereka hanya mahu tolong dia atau mempunyai sesuatu untuknya; meminta maklumat lanjut tentang keluarganya dan soalan lain.
“Dia merasa tidak senang. Ketika kami menelefon nombor yang menghubunginya, tiada pula jawapan,” kata lelaki berusia 57 tahun itu kepada pemberita di hospital.
Devan yang merupakan bapa saudara sebelah ayah Previin berkata keluarganya bimbangkan keselamatan Previin dan merancang untuk melaporkan pemanggil itu kepada polis.
“Sebab kami tidak tahu siapa mereka, baik atau jahat. Kami juga bimbang untuk menerima pelawat yang tidak dikenali mencari Previin di hospital,” katanya.
Devan berkata kejadian itu mengejutkan seluruh negara.
Previin dijaga pakcik dan makcik kerana ayahnya bekerja di Kuala Lumpur dan ibunya berada di Australia.
Kawan kepada ayah Previin, RK Asokan pula berkata panggilan mencurigakan bermula selepas ada orang menyebarkan nombor telefon Previin di Facebook beberapa hari lalu.
“Mereka kata mereka mahu beri sumbangan. Tetapi selepas semua ini berlaku, kami bimbang.
“Kami tidak tahu jika mereka ikhlas. Ada orang yang beritahu mereka mahu tolong supaya mereka boleh merapati awak,” katanya.
Menurut polis, Previin banyak membantu siasatan serangan itu. Dia mengenal pasti penyerang terlibat yang membawa kepada penahanan lima remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun.
Walaupun dia berjaya menyelamatkan diri, Previin cedera. Devan berkata yang anak saudaranya memerlukan pembedahan minggu ini kerana patah tulang di bawah mata kanannya.
Previin walaupun masih kesakitan masih boleh menceritakan kejadian malam itu kepada wartawan.
Katanya, dia dan rakannya yang dikenali sejak kecil itu pergi ke gerai burger itu apabila mereka bertembung dan diganggu dua remaja yang dikenali.
Previin berkata dia mungkin menimbulkan kemarahan mereka kerana dia mempertahankan kawannya yang pergi ke sekolah yang sama dengan penyerang itu yang biasa membuli kawannya.
Dua penyerang itu memanggil beberapa kawan mereka sebelum memukul Previin dan kawannya dengan topi kaledar motorsikal.
Disebabkan Previin berjaya melepaskan diri dengan bantuan kawan pakciknya, dia hanya boleh menceritakan separuh kejadian malam itu. Apabila dia kembali ke tempat kejadian, kawannya dan penyerang tersebut sudah tiada.
“Dia tak mampu lawan mereka. Dia lemah lembut dan sopan santun orangnya,” katanya mengenai kawannya itu.
Ketika salah seorang abang suspek membawa mangsa ke Hospital Pulau Pinang, rakannya itu sudah tidak sedarkan diri. Doktor memberitahu keluarga mangsa yang remaja itu koma dan wujud kecederaan di kemaluan dan duburnya.
Previin berkata yang dia melawat kawannya di unit rawatan rapi semalam.
Ditanya sekiranya ada ahli keluarga penyerang yang berjumpa dengannya untuk memohon maaf, dia berkata: “Mereka tidak akan datang,” menambah yang dia sendiri tidak mempunyai apa-apa yang boleh dikatakan kepada keluarga penyerang.
“Saya tidak kenal rapat budak lelaki itu. Kami pergi ke sekolah berlainan. Saya hanya tahu siapa mereka,” katanya.
Sebelum itu, Previin dilawati Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer.
Rayer berkata dia dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membantu Previin dan keluarga kawannya dalam apa jua keadaan sepanjang masa sukar ini.
Pagi ini juga, Ketua Menteri Lim Guan Eng berharap tindakan tegas akan diambil.
“Saya sudah meminta Rayer dan Ramkarpal untuk memberikan bantuan yang diperlukan mangsa. Kami akan lihat apa yang kami boleh buat untuk pastikan keadilan ditegakkan. – 14 Jun, 2017.
Komen